KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan menghentikan segera hubungan dagang dengan negara haram Israel.
"Kerajaan tidak perlu melakukan sebarang kajian lagi, apa yang perlu dilakukan adalah hentikan segera hubungan dagang.
"Ini
satu langkah untuk kita memberi tekanan kepada negara yang zalim itu,
selagi kita memberi sumbangan melalui ekonomi Israel akan terus kuat
untuk membunuh rakyat Palestin," ujarnya kepada Harakahdaily.
Tambah
beliau lagi, sikap berlengah-lengah kerajaan dalam membuat keputusan
akan mengakibatkan lebih ramai rakyat yang tidak berdosa akan terkorban.
"Kita
tidak perlu menjadi penyumbang kepada kematian penduduk Gaza, walaupun
kita akui kita tidak terlibat tetapi dengan hubungan dagang ini secara
tidak langsung penyumbang kepada keperluan ketenteraan mereka.
"Semakin
lama masa diambil, semakin banyak nyawa yang terkorban. Kita gesa
hentikan segera dan tiada lagi masa untuk kita duduk berbincang,"
sambung beliau lagi.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed dalam satu kenyataan sebelum ini
mengakui Malaysia mempunyai hubungan dagang dengan negara zionis itu dan
akan memperhalusi termasuk mengadakan pertemuan dengan beberapa
syarikat multinasional yang mempunyai hubungan dagang dengan Israel
sebelum sebarang keputusan dan kenyataan dikeluarkan.
HARAKAHDAILY 3/8/2014