OTTAWA - KANADA. Taktik seorang budak perempuan menjual biskut semasa orang ramai beratur panjang di sebuah kedai ganja di pusat bandar Edmonton membuahkan hasil lumayan, apabila kesemua hasil jualannya habis dalam tempoh kurang 45 minit.
"Perkara seumpama itu tidak pernah berlaku kepada Elina," kata Sean Childs bapa kepada kanak-kanak berusia sembilan tahun itu.
Katanya, sebelum ini biskut Elina gagal mendapat sambutan, malah pernah digigit seekor anjing ketika menjual biskut di kawasan kejiranan mereka.
"Menjual biskut adalah sebahagian aktiviti untuk Elina sentiasa sibuk dan aktif memandangkan dia menghidap penyakit paru-paru fibrosis sista," katanya.
"Saya fikir tiada masalah untuk habiskan semua 30 kotak biskut kerana orang ramai beratur panjang semata-mata mahu mendapatkan ganja," katanya.Tambah Sean, rancangan untuk menjual biskut di hadapan kedai ganja Nova Cannabis terlintas di mindanya selepas kerajaan Kanada membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi pada Rabu lalu.
Rabu lalu, Kanada menjadi ekonomi utama dunia pertama dan negara kedua membenarkan penggunaan ganja secara rekreasi.
Perdana Menteri Justin Trudeau mempertahankan langkah itu sebagai usaha melindungi golongan muda dan bertujuan menyekat kegiatan pengedaran dadah. - Agensi