Tulisan Terbuka
28 Mei 2013
ANTARA GARIS SELAMAT DAN NASIB RAKYAT [WAJIB BACA]
Pasca PRU13, sudah sembilan himpunan #Blackout505 dan satu himpunan
#SuaraRakyat505 berlangsung. Samada ia punyai kesinambungan atau tidak,
bukanlah perkara pokok kerna ianya
adalah himpunan pergi dan balik. Himpunan hebat ini menyaksikan rakyat
dan pemimpin saling bersuara, saling berlaung, hebat bergema!
Tetapi ke mana gemanya suara dan laungan ini? Apakah ke bukit?
Saya percaya rakyat hari ini seharusnya sudah mendapat kelegaan yang
optima sekiranya demokrasi dalam pilihanraya 5 Mei berjalan dengan baik.
Pakatan Rakyat menang PRU-13 menjadikan harga minyak turun keesokkan
harinya dan harga tol mansuh berperingkat sekaligus menyebabkan harga
barang dan harga perkhidmatan berkurangan. Barangan keperluan asas
khususnya akan jauh lebih murah apabila monopoli kroni mula dipecahkan.
Rasuah, penyelewengan, ketirisan wang negara dapat dipatahkan. Apa lagi
yang rakyat mahu? Inilah yang rakyat pilih.
Barisan Nasional
tidak menang PRU13. Mereka tidak layak membentuk kerajaan dan Najib
seorang PM yang tidak punya mandat majoriti rakyat. Saya katakan BN
tidak menang kerana dalam keadaan menipu, dalam keadaan dibantu oleh
semua agensi kerajaan khususnya SPR, dibantu 'papan' siaran telivisyen
yang sampai masuk ke setiap rumah, dibantu oleh dana berpuluh bilion,
dalam keadaan semua ini pun mereka hanya mampu perolehi 46% undi
popular. Menipu pun kalah, bagaimana jika tidak menipu.
Akhirnya penipuan pilihanraya 5 Mei menjadi agenda paling besar dan
hangat. Ia diakui oleh semua parti politik Pakatan Rakyat. Rakyat
bangkit dengan amarah dan telah dibuktikan amarah ini dalam sepuluh
perhimpunan #Black505 di seluruh negara. Dalam masa yang sama, rakyat
berpaut kepada parti dan kata-kata pemimpin yang berjanji bahawa rakyat
adalah tuan dan negara perlu diselamatkan. Jangan lupa, inilah kata-kata
keramat sebelum pilihanraya.
Ketika negara gagal diselamatkan
dek kerana penipuan pilihanraya, kerana demokrasi yang digelapkan dan
kemenangan yang telah dicuri dalam silap mata blackout. Ketika itu juga
sayup-sayup berbunyi saranan kepada rakyat agar jangan gopoh, sayup
berbunyi memberi nasihat agar bersabar, terus menyusun gerakan untuk 5
tahun lagi. Apakah mereka lupa kemenangan dan keselesaan rakyat hari ini
telah dirampas pada tengah malam 5 Mei maka pemimpin BN dan kroni terus
dibiarkan bermewah dan terus mengaut kekayaan?
Rakyat mula
tertekan menghadapi kenaikkan harga barang secara senyap, perlaksanaan
GST digerak secara sorok-sorok dan tidak lama lagi AES mula mengambil
tempat seterusnya menjadikan jalanraya sebagai pusat 'penyembelihan'
yang baru. Inilah nasib rakyat Malaysia - mereka bukan bodoh, mereka
cuma ditipu.
Saya percaya lebih 60% pengundi sebenar memilih
Pakatan Rakyat tetapi penipuan dalam bentuk pengundian lebih dari sekali
menjadikan peratusan itu merundum kepada 51% - di sinilah gunanya
dakwat kekal yang tidak kekal maka BN menang dengan penipuan terancang.
Pengundi CIMB (Cambodia, Indonesia, Myanmar & Bangla) adalah taktik
diversion atau mengalih perhatian, ketika penipuan sebenar ialah
pengundian lebih sekali khususnya 278 ribu pengundi awal dan pos yang
terdedah manipulasi penipuan apabila telah hilang dakwat di jari. Juga
lambakkan kertas undi di akhir sesi pengiraan yang membolehkan BN menang
tipis di banyak kerusi parlimen di saat akhir.
Seperti yang
saya katakan tadi, penipuan dan kecurangan ini telah diakui oleh Pakatan
Rakyat malah keputusan PRU13 juga tidak diterima secara sebulat suara -
ini sudah bagus. Persoalannya, demi rakyat, apakah PR sedia bersama
rakyat walaupun rakyat memilih untuk turun ke jalanraya?
Sebelum PRU13, kamu (Pakatan Rakyat) jangka akan ditipu sehabisnya, kamu
bersama rakyat dalam BERSIH 3.0, malah kamu bersama anjurkan KL112
ketika kamu sangka kamu akan kalah sehabisnya akibat penipuan SPR untuk
kekalkan BN. Namun bila kamu kekal beberapa negeri dan mempunyai lebih
ramai YB di atas pertambahan kerusi parlimen, apakah pendirian bersama
rakyat itu sudah berubah (apabila keadaan sudah selamat)? Apakah harus
redho hanya kerana kelemahan kita tidak berjaya melepaskan diri dari
tipu helah Barisan Nasional?
BN adalah penipu yang baik yakni
penipu yang bijak menipu. BN hanya perlu menipu untuk menang walaupun
dengan majoriti beberapa kerusi parlimen. Jika BN menang semua, pasti
huru-hara, mungkin ketika itu ungkapan 'sabar' tiada dalam perkiraan.
Jadi bagaimana sekarang? Rakyat kini belum selamat sepertimana negeri
Selangor, P.Pinang dan Kelantan yang dikira sudah selamat. Jika setuju
bahawa rakyat dan negara ini perlu diselamatkan, di manakah pendirian
Pakatan Rakyat? Bersama rakyat atau bermain selamat?
Kesempatan
ini juga saya ucap tahniah dan salut buat imam jalanraya sejati - Tn
Haji Mat Sabu kerana beliau satu-satunya pemimpin utama parti yang
berani menyebut betapa perlunya Dataran Merdeka itu ditawan oleh rakyat
sebagai simbol menegakkan demokrasi yang digelapkan. Nampaknya Abang Mat
tidak peduli nasibnya dalam muktamar pemilihan nanti. Selebihnya
pemimpin yang mendapat perhatian rakyat seperti che'GuBard dan Rafizi
Ramli juga telah menyatakan bahawa jalanraya adalah jawapan untuk
menyentap keegoan regim. Saya salut pemimpin ini.
Begitu juga
dengan Dato' Ambiga yang secara terbuka mendesak SPR meletak jawatan.
Jelaslah Dato Ambiga ada masanya jauh lebih berani daripada Hishamuddin
Rais atau Tukar Tiub. Saya nasihatkan kepada Isham Rais supaya teruslah
menghilangkan diri sampai bila-bila. Ramai lagi pemimpin yang bersama
gerakan rakyat yang tidak sempat untuk saya sebutkan di sini. Saya yakin
semuanya hebat dan terus istiqomah.
Saya dengan ini mendesak
kepada semua parti politik pro-rakyat agar menyatakan pendirian dengan
tegas samada untuk terus ditipu 5 tahun lagi, atau bersama rakyat
'menggegar' demi demokrasi sebenar dalam masa terdekat. Nyatakanlah
pendirian dengan berani, agar rakyat tidak silap memilih kamu sebagai
pembela sejati.
Tegaslah untuk pilihanraya semula (walaupun
terpaksa serah tiga negeri) di atas kecurangan terbesar SPR - dakwat
kekal yang tidak kekal. Kes ini cukup kuat bersama sokongan majoriti
rakyat. Namun harus diingat, untuk pilihanraya semula wajib dengan SPR
yang diperbaharui dan diletakkan bukan lagi di bawah JPM.
Akhir
sekali saya bertekad dan menyeru kepada semua NGO dan aktivis supaya
pastikan tiada lagi rapat himpunan, tiada lagi acara persembahan, tiada
lagi ucapan pidato yang melampuh, kini tiba masa untuk bergerak, kini
tiba masa untuk berarak dengan berani.
Tipu pilihanraya, turun jalanraya dan perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata.
EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Nak beli domain dan nak buat website? boleh cuba link yang di beri...
-
Nak beli domain mudah dan servis terbaik....
* https://secure.gbnetwork.com/aff.php?aff=778 *
klik banner yang kami beri ini...
*Testimoni klik s...
3 tahun yang lalu