ASLI....Gambar ini adalah asli dan berlaku di Sekolah Kebangsaan Serdang di Saluran 3, Seri Serdang.
Saudara Pengarang,
SAYA
mengecam kenyataan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melalui Timbalan
Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang menyatakan bahawa kejadian
'Blackout 505' yang tersebar di internet dan akhbar adalah fitnah dan
lakonan yang dirakam sebelum PRU 13.
Ternyata hasil
penelitian dan siasatan awal yang dilakukan beliau bersama
pegawai-pegawainya adalah sangat lemah dan hanya sekadar ingin menutup
kelemahan sistem pilihanraya yang ada dan menafikan kejadian blackout
yang benar-benar berlaku.
Saya
ingin menyatakan bahawa gambar yang tersebar tersebut adalah benar dan
kejadian itu berlaku di Sekolah Kebangsaan Serdang, di bilik pengiraan
undi Saluran 3. 'Counting Agent' kami telah mengambil beberapa gambar
sebelum dan selepas kejadian blackout tersebut itu berlaku.
Saya
juga melihat beberapa kelemahan Timbalan Pengerusi SPR dalam menilai
beberapa aspek dikatakan Prosedur Operasi Standard (SOP) SPR sewaktu
hari mengundi pada 5 Mei 2013 yang lalu. Bagaimana beliau sendiri tidak
tahu pakaian rasmi petugas-petugas SPR berwarna kelabu pada hari
tersebut.
Saya
juga berasa hairan kerana beliau juga tidak kenal kotak bekas kiraan
undi yang digunakan oleh pihak SPR sendiri. Gambar tersebut dengan jelas
menampakkan logo SPR di tepi kotak kiraan undi yang digunakan.
Sewaktu
kejadian itu berlaku, wakil calon kami juga telah berusaha membekalkan
lampu suluh ke bilik kiraan undi tersebut bagi memastikan proses kiraan
undi berjalan dengan lancar. Saya menafikan bahawa terdapat wartawan di
lokasi kejadian kerana yang ada hanya Ketua Tempat Mengundi (KTM),
petugas SPR, wakil calon dan anggota polis yang bertugas.
Oleh
itu, saya menyarankan agar pihak SPR khususnya Timbalan Pengerusi SPR
Datuk Wan Ahmad Wan Omar memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia
kerana telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan kenyataan tanpa
membuat kajian yang mendalam dan mengambil ringan isu yang dibangkitkan
oleh rakyat. SPR sebagai badan rasmi yang menguruskan pilihanraya ini
mesti dilihat profesional, adil dan telus serta tidak berpihak kepada
mana-mana parti.
Salam Hormat,
YB NOOR HANIM ISMAIL
ADUN Seri Serdang.