Cari Tajuk Yang Di Cari

Khamis, 15 Mei 2014

Leka layan judi ketika Maghrib [ Isu Semasa ]

  Leka layan judi ketika Maghrib

SEREMBAN - Ketika umat Islam lain berduyun-duyun ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib, lima lelaki berusia 30-an hingga 60-an pula leka menghabiskan masa bermain judi di sebuah premis judi siber di Megaway, Sikamat, di sini, petang kelmarin.

Kelima-lima yang bermain judi Roullete itu bagaimanapun dicekup penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam satu operasi kira-kira 7.30 petang.

Ketua Operasi, Ahmad Zaki Hamzah berkata, premis yang berselindung disebalik siber kafe itu dipercayai sudah beroperasi sejak setahun lalu.

“Serbuan melalui pintu belakang premis berjaya menahan lima lelaki dan dua penjaga premis warga Bangladesh dan Indonesia berusia 20-an.

“Sebanyak tujuh unit komputer perjudian dan wang pertaruhan bernilai RM150 dirampas dalam serbuan itu,” katanya kepada pemberita selepas selesai operasi berkenaan, malam kelmarin.

Ahmad Zaki berkata, kesemua yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 79(a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2004 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, kesemua mereka bersama barang kes dibawa ke Bahagian Penguat kuasaan JHEAINS untuk tindakan lanjut.

“Operasi seperti ini akan kita teruskan meskipun pada hari cuti umum kerana masalah sosial bermula daripada lambakan pusat judi siber.

“Orang Islam khususnya anak-anak muda perlu diselamatkan agar gejala sosial ini tidak menjadi barah yang akan merosakkan masyarakat,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama daripada orang ramai menyalur maklumat termasuk mengenalpasti pusat judi siber di bandar ini.

Sinar Harian
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2