Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Datuk Dr NKS Tharmaseelan berkata, peningkatan kos ubat-ubatan yang mampu mencecah sehingga 80 peratus, akan menyebabkan ramai pesakit terutamanya golongan berpendapatan rendah tidak mampu membiayai kos perubatan mereka.
"Jika perjanjian ini ditandatangani, saya percaya ubat-ubatan terutamanya membabitkan penyakit HIV akan menjadi lebih mahal.
"Kos yang mahal akan mewujudkan lebih banyak halangan untuk rawatan, penjagaan dan sokongan perkhidmatan," katanya.
Menurutnya, sekiranya perjanjian ini tetap dilaksanakan maka setiap ubat-ubatan generik (tidak berjenama) atau mampu milik yang dikeluarkan oleh kebanyakan syarikat tempatan akan disekat pengeluarannya.
"Syarikat-syarikat berasaskan perubatan dari Amerika Syarikat akan memonopoli setiap penjualan ubat-ubatan dan ini akan menyebabkan ubat-ubat murah atau dipasaran disekat jualannya seperti mana yang tertakluk pada perjanjian TPP," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Polisi Majlis AIDS, Fifa Rahman berkata, kenaikan harga ubat-ubatan di bawah perjanjian TPP adalah disebabkan pemanjangan tempoh paten atau hak cipta ubat berjenama iaitu melebihi 20 tahun.
Katanya, pemanjangan tempoh paten atau hak cipta tersebut turut dipercayai akan mengakibatkan ubat generik yang lebih murah sukar dihasilkan.
"Sebagai contoh, ubat berjenama untuk kanser dijual pada harga yang mahal RM9,600 ke RM10,000 dan adakah sebahagian besar daripada pesakit-pesakit ini mampu membiayainya?," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fifa yang juga Pakar Undang Undang Kesihatan berkata, satu protes aman membantah perjanjian TPP akan diadakan hari ini di pekarangan pusat membeli-belah Sogo.
"Protes ini akan dihadiri oleh pelbagai seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Majlis AIDS Malaysia, Persatuan Penyakit Jarang Jumpa dan NGO yang lain," katanya.
Sehubungan itu, Fifa berkata, orang ramai juga dijemput menyertainya demi memastikan hak-hak atau akses perubatan di negara ini terus dikekalkan seperti keadaan sebelumnya.
Sinar Harian