BAGAN SERAI - PKR mengakui masalah pertindihan kerusi bagi peletakan dan
calon bidan terjun pada saat akhir merupakan antara kesilapan parti itu
sehingga kehilangan beberapa kerusi penting pada pilihan raya umum
(PRU) lalu.
Naib Presidennya, Tian Chua berkata, kegagalan menyelesaikan rundingan
pembahagian kerusi di antara parti-parti dalam PR lebih awal dan
kelewatan memperkenalkan calon pilihan raya dikenal pasti antara faktor
PKR kehilangan beberapa kerusi yang dianggap mampu menang.
Menurutnya, berikutan gabungan kerjasama di antara PKR, Pas dan DAP
membentuk PR hanya benar-benar dibentuk pada tahun 2009, isu pertindihan
kerusi di antara parti-parti terlibat mendedahkan pakatan itu masih
tidak matang dalam menyelesaikan isu peletakan calon.
“Pada PRU12, isu peletakan calon dalam kalangan PR tidak wujud
berikutan kesemua parti dalam pakatan itu langsung tidak menyangka akan
berlaku tsunami politik penolakan BN sehinggakan PR berjaya memenangi
lima kerusi.
“Kali ini, senario mula berbeza pada PRU13 apabila kesemua parti mula
memasang hasrat untuk bertanding lebih kerusi kerana melihat peluang
untuk merampas Putrajaya daripada BN agak cerah,” katanyaketika ditemui
pada majlis sembang santai bersama PKR Cabang Bagan Serai, di sini
kelmarin.
Turut hadir, Ketua Angkatan Muda Keadilan(AMK) PKR cabang itu, Azroul Shahrin Amir.
Tian Chua berkata, kesemua kelemahan yang dikenal pasti PKR itu
bagaimanapun akan diselesaikan lebih awal oleh kepimpinan PKR baharu
setelah majlis pemilihan semula pucuk kepimpinan parti dilaksanakan
bulan hadapan.
Menurutnya, selain fokus penyelesaian isu rundingan pembahagian kerusi
dan peletakan calon, isu keperluan peletakan calon tempatan di mana-mana
kawasan yang dikenal pasti akan ditekankan kepimpinan PKR Pusat selepas
ini.
“Majlis pemilihan parti yang bakal dijalankan pada bulan hadapan juga
dianggap penting untuk membolehkan setiap cabang melantik kepimpinan
parti yang benar-benar komited terhadap perjuangan PKR.
“Justeru, proses pemilihan itu juga dijangka menyelesaikan isu dan
konflik dalaman melibatkan beberapa cabang bermasalah di negara ini,”
katanya.
Sementara itu, Azroul Shahrin ketika ditemui menggesa ahli PKR cabang
Bagan Serai kembali bersatu dan membentuk satu pasukan mantap sebagai
persediaan awal menghadapi PRU ke-14.
Menurutnya, masalah dalaman dihadapi PKR Cabang Bagan Serai perlu diselesaikan segera bagi kelangsungan perjuangan parti.
Sinar Harian