Bajet 2014: Jangan laksana GST, kata MTUC
SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan tiga
perkara utama berkaitan kepentingan rakyat untuk dipertimbangkan
kerajaan dalam Belanjawan 2014, termasuk tidak melaksanakan sistem Cukai
Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Presiden MTUC Mohd Khalid Atan berkata pelaksanaan GST akan memberi
impak kepada golongan berpendapatan rendah dengan mengambil kira kos
barangan dan perkhidmatan pengguna yang semakin meningkat saban tahun.
"Pengguna perlu menanggung cukai penggunaan jika GST dilaksana dan ia
past akan membebankan golongan berpendapatan rendah meskipun bayarannya
adalah kecil," katanya ketika dihubungi Bernama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dilapor
berkata kerajaan sedang menjalankan kajian berkaitan GST bagi menilai
impak terhadap kadar inflasi dan kaedah terbaik pelaksanaannya.
Beliau berkata pelaksanaan GST bagi menggantikan cukai jualan dan cukai
perkhidmatan merupakan satu daripada pendekatan jangka panjang kerajaan
bagi meningkatkan hasil pendapatan negara.
Sementara itu, Mohd Khalid berkata MTUC turut berharap Belanjawan 2014
yang dijadual dibentang pada 25 Okt ini mempertimbangkan pemberian
bantuan Elaun Sara Hidup (COLA) sebanyak RM300 kepada pekerja sektor
swasta yang berdepan tekanan berikutan kenaikan harga barangan dan
perkhidmatan.
Beliau juga meminta kerajaan mempertingkat kadar pelepasan cukai
pendapatan individu menerusi Belanjawan kali ini selain mempertimbang
pelepasan cukai tambahan sebanyak RM1,000 bagi mereka yang mempunyai
anak pertama, kedua dan seterusnya.
Katanya, langkah itu bakal merangsang pertumbuhan ekonomi domestik kerana rakyat akan mula berbelanja lebih.
Mohd Khalid juga mengalu-alukan cadangan pemberian Bantuan Rakyat
1Malaysia secara dua peringkat mulai tahun depan, yang dilihat sebagai
pendekatan baik bagi mengimbangi kadar inflasi.
Sinar Harian