TANAH MERAH - Nombor kad pengenalan pengawal keselamatan yang kini
diburu selepas menembak mati seorang pegawai operasi Ambank di Subang
Jaya, Rabu lalu, disahkan tidak wujud dalam rekod Jabatan Pendaftaran
Negara (JPN).
Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd Said berkata, perkara itu
disahkan selepas pihaknya membuat semakan apabila siasatan polis
mendapati suspek dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu.
“Kita (JPN) sudah semak dari segi rekod, nombor kad pengenalan itu
tidak wujud dalam sistem JPN. Kes ini dalam siasatan polis, jadi kita
tunggu hasil siasatan,” katanya pada sidang media selepas Perjumpaan
Khas dan Dialog Bersama Ketua Pengarah JPN Mengenai Pengenalan Diri
sempena Program Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Tanah Merah, di sini,
semalam.
Dalam kejadian jam 6.18 petang, Rabu lalu, pegawai operasi bank
terbabit, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak penjenayah kejam itu
sejurus membuka sebuah peti besi berisi wang dan suspek melarikan wang
berjumlah RM450,000.
Siasatan polis mendapati, suspek dipercayai warga asing itu menggunakan
kad pengenalan palsu bagi membolehkannya bekerja sebagai pengawal
keselamatan dan bertugas di beberapa bank sekitar Lembah Klang.
Susulan kejadian itu, polis menahan dua pengawal keselamatan dan isteri
suspek, kesemuanya warga Indonesia yang dipercayai bersubahat dengan
penjenayah terbabit.
Bagaimanapun, identiti sebenar suspek yang menggunakan nama Ardi Hamza
dan mengikut kad pengenalan itu berasal dari Tawau, Sabah masih belum
diketahui.
Jariah berkata, majikan boleh membuat semakan dengan JPN jika ingin
mengesahkan pekerja diambil adalah warga negara Malaysia berdasarkan
maklumat kad pengenalan.
Katanya, selain untuk tinggal di negara ini secara haram, kebanyakan
warga asing menggunakan kad pengenalan palsu untuk mendapatkan pekerjaan
dan melakukan jenayah.
Sinar Harian