KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Pas mendakwa, satu undi untuk Umno-BN pada
PRK Dun Sungai Limau bermakna satu undi untuk kenaikan harga barang.
Mursyidul Am Pas, TG Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata demikian dalam satu kenyataan di dalam laman Facebooknya, hari ini.
Dakwanya, pengundi Dun Sungai Limau wajib melakukan pemilihan yang
tepat bagi menunjukkan rakyat tidak sokong kenaikan harga barang.
"...kenaikan harga barang yang berlaku selepas pilihan raya seperti
harga minyak, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan
banyak isu lain membuktikan bahawa Umno-BN tidak berniat untuk
meringankan beban rakyat bawahan.
"Justeru, pengundi Dun Sungai Limau wajib buat pilihan yang tepat bagi
membuktikan rakyat tak reda dengan kenaikan harga barang," dakwanya.
Pada bulan lalu, penyandang Adun Sungai Limau, Tan Sri Azizan Abdul
Razak telah meninggal dunia akibat masalah kesihatan sekaligus
menyebabkan kerusi Dun di kawasan itu menjadi kosong.
Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan
turut merayu pengundi di Dun Sungai Limau supaya mengekalkan undi
terhadap Pas, pada PRK depan.
"Saya benar-benar menggantungkan harapan kepada para pengundi agar
terus mengekalkan Pas di Dun Sungai Limau sebagaimana pengundi-pengundi
telah membuat pilihan yang tepat apabila mengundi Almarhum Ustaz Azizan
Abdul Razak di dalam PRU yang lepas.
"Insya-ALLAH, keikhlasan tuan-tuan di dalam membuat pengundian di dalam
pilihanraya yang lepas akan dikira sebagai amalan kebaikan oleh ALLAH
SWT sekalipun kesempatan untuk bersama-sama Adun Sungai Limau tidak lama
kerana beliau dipanggil mengadap ALLAH SWT kemudiannya," katanya lagi.
Sinar Harian