SHAH ALAM 30 OKT – Kerajaan Selangor menawarkan Rumah Mampu Milik
“Rumah Selangorku” kepada 300 orang pemohon yang layak menduduki
mengikut kriteria yang ditetapkan.
Rumah Selangorku yang ditawarkan ini dibina oleh Perbadanan Kemajuan
Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen U12 Shah Alam dan Permodalan Negeri
Selangor Berhad (PNSB) di Sutera Damansara, Petaling Jaya.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka, Iskandar Abdul
Samad, berkata PKNS sedang membina 104 unit pangsapuri sementara PNSB
sedang membina 236 unit pangsapuri.
“Dijangkakan pangsapuri itu boleh diduduki pada akhir tahun 2016,” kata Iskandar dalam satu kenyataan.
Iskandar berkata, sebahagian dari unit-unit kediaman itu akan dibeli
oleh Kerajaan Negeri untuk dijadikan rumah sewa kepada golongan yang
tidak berkemampuan untuk membeli rumah mereka sendiri.
Pemilihan adalah semata-mata berdasarkan merit dan tidak langsung mengambil kira surat sokongan dari mana-mana pihak.
Jelasnya pemohon-pemohon berjaya adalah di antara 2,244 pemohon yang
mengisi borang khas yang dikeluarkan oleh Lembaga Perumahan Dan Hartanah
Selangor (LPHS) untuk membeli Rumah Mampu Milik.
“Pemilihan dibuat menggunakan sistem merit. Setiap pemohon akan diberikan markah untuk kriteria mereka.
“Contohnya untuk bilangan anak atau tanggungan, lebih ramai anak atau tanggungan maka lebih tinggi markah yang akan diberi.
“Di antara kriteria lain yang dinilai adalah pendapatan isi rumah,
lama tinggal di Negeri Selangor dan jarak tempat tinggal sekarang dari
lokasi projek.
“Pemohon-pemohon yg mendapat markah tertinggi akan ditawarkan untuk membeli rumah-rumah tersebut,” katanya.
Kata Iskandar, pemohon yang berjaya akan diberitahu melalui surat
pada bulan Disember ini dan nama mereka akan dipamerkan di laman web
Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) untuk dua minggu.
Kedua-dua projek ini adalah antara 35,000 Rumah Mampu Milik yang akan bina di Selangor menjelang 2018.
Projek Rumah Mampu Milik pertama PKNS adalah di Bandar Baru Bangi dengan 124 unit kediaman dan akan mula diduduki tahun hadapan.
Mereka yang berminat untuk membeli rumah-rumah tersebut boleh memuat
turun borang permohonan daripada laman web LPHS –
http://lphs.selangor.gov.my mulai bulan Disember ini.
-EZY
Selangorku