PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya
yang difail PKR bagi membatalkan kemenangan BN di Parlimen Machang pada
pilihan raya umum ke-13 didengar semula.
Panel lima hakim diketuai Tun Arifin Zakaria membuat keputusan itu
selepas membenarkan rayuan calon PKR Wan Zawawi Wan Ismail bagi
mengetepikan perintah Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan petisyennya
pada 16 Julai lepas.
Dalam penghakimannya, Arifin berkata hakim pilihan raya tidak
sepatutnya membatalkan pertisyen itu atas alasan pempetisyen gagal
mematuhi beberapa peraturan mengikut Kaedah 9 dan Kaedah 34
Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.
Arifin, yang bersidang bersama-sama Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin,
Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop dan Datuk Hasan Lah
berkata Mahkamah Pilihan Raya perlu mendengar kes itu berdasarkan merit.
Beliau kemudian menetapkan 17 Dis sebagai pengurusan kes bagi petisyen itu.
Mahkamah Pilihan Raya membatalkan petisyen Wan Zawawi selepas
membenarkan bantahan awal peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang
mewakili responden.
Wan Zawawi menamakan Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan
Yaakub, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya
sebagai responden.
Ahmad Jazlan, yang juga Ketua Umno Bahagian Machang, menewaskan Wan
Zawawi dengan majoriti 805 undi pada pilihan raya umum ke-13.
Pada prosiding hari ini, panel sama menolak lima rayuan berkaitan
petisyen pilihan raya selepas mendengar hujah pihak berkaitan.
Tiga daripada petisyen itu difail oleh Pas bagi kerusi Dewan Undangan
Pasir Panjang, Manong dan Rungkup di Perak manakala dua oleh BN bagi
kerusi Parlimen Bachok dan kerusi Dewan Undangan Negeri Jelawat di
Kelantan.
Sementara itu, satu lagi panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif turut menolak petisyen
pilihan raya Pas bagi kerusi Dewan Undangan Selama.
Md Raus, yang bersidang bersama-sama Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan
Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Seri Abu Samah Nordin,
membuat keputusan itu selepas peguam pempetisyen Mohd Akmal Kamaruddin
tidak hadir ke mahkamah.
Rayuan itu ditolak dengan kos RM20,000. Mahkamah itu turut menetapkan
23 Dis ini untuk memutuskan petisyen pilihan raya bagi kawasan Parlimen
Bagan Datoh, Sungai Besar, Tapah dan kerusi Dewan Undangan Negeri Lubok
Merbau.
Sinar Harian