Cari Tajuk Yang Di Cari

Jumaat, 13 Disember 2013

PKR desak kerajaan beku kenaikan tambang pengangkutan awam


SHAH ALAM - PKR mendesak kerajaan BN membekukan sebarang kenaikan tambang pengangkutan awam melibatkan LRT, monorel seperti yang heboh diperkatakan - sehingga 2017.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, pelbagai kenaikan sama ada harga barangan mahupun perkhidmatan ini akhirnya membuktikan amaran yang diberikan pihaknya selama ini benar.

"Saya pernah memberi amaran bahawa BN merancang untuk menaikkan satu persatu harga perkhidmatan dan barang keperluan sepanjang tahun 2014 untuk memastikan kenaikan harga ini berlaku sebelum GST dilaksanakan menjelang Mac 2015.

"BN tahu bahawa pelaksanaan GST akan melonjakkan kadar inflasi, maka sukar untuk mereka menaikkan harga barang keperluan selepas pelaksanaan GST memandangkan pilihan raya umum perlu dipanggil sekitar 2017 atau 2018," katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Pada Rabu lalu, heboh diperkatakan tambang monorel dan LRT akan dinaikkan Januari tahun depan setelah sekian lama tambang pengangkutan itu tidak dikaji semula.

Dakwa Rafizi, sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memegang jawatan itu, perancangan untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan sudah dibuat.

"Malah sejak 2009, Pemandu dan menteri yang bertanggungjawab, Datuk Seri Idris Jala secara terbuka membincangkan rancangan penarikan balik subsidi dari pelbagai sektor termasuk kadar pengurangannya sekali. Ini melibatkan kadar tol, harga gula dan makan, tarif elektrik dan lain-lain.

"Kenaikan-kenaikan hanya tidak dilaksanakan kerana BN takutkan kemarahan rakyat mempengaruhi tahap sokongan PRU13," katanya.

Lebih malang ujar Rafizi, apabila kenaikan harga ini melibatkan barang dan perkhidmatan ruji (essential goods and services) yang membawa kesan berganda kepada harga-harga barang yang lain.

Tegasnya, jika kerajaan mahu menafikan kenaikan-kenaikan harga yang diumumkan mutakhir ini sudah dirancang, sebuah akujanji kepada rakyat mesti dibuat.

"Jika akujanji ini dibuat, saya bersedia memohon maaf secara terbuka kepada BN kerana konsisten mengkritik cadangan mereka memotong subsidi dan menaikkan harga barang satu persatu dalam tahun 2014 ini," ujarnya.

Sinar Harian
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2