Beberapa hari saja lagi, tahun baru 2014 akan menjelma. Seperti
kebiasaannya setiap kali menjelang ketibaan tahun baru, perkara yang
selalu dilakukan oleh kebanyakan orang ialah menanam azam masing-masing
supaya apa yang mahu dicapai pada tahun tersebut sentiasa tersemat dalam
hati dan menambahkan lagi kegigihan untuk berusaha.
Ada yang azamnya mahu memiliki kereta, membeli rumah baru, menamatkan
zaman bujang, memiliki syarikat sendiri dan bermacam-macam lagi. Pendek
kata, azam yang dipasang adalah bergantung kepada keupayaan seseorang
dan apa yang mahu dicapainya.
Untuk tahun 2014 ini, apakah azam yang sesuai untuk rakyat Malaysia agaknya?
Rata-rata rakyat Malaysia kini sedang terbelenggu dengan pelbagai
kenaikan yang dilakukan oleh kerajaan. Dengan kenaikan minyak, gula,
cukai pintu, astro, letrik, tambang bas, LRT, monorel, tol dan pelbagai
lagi, barangkali tahun 2013 boleh diisytiharkan sebagai tahun paling
banyak barang dan perkhidmatan dinaikkan dalam sejarah hampir 57 tahun
kemerdekaan negara.
Lebih memilukan hati rakyat ialah semua kenaikan itu dilakukan ketika
kerajaan lantang melaungkan slogan "rakyat didahulukan" serta di ketika
BN hanya memperolehi kemenangan tipis dalam PRU 13 yang baru saja
berlalu.
Tidak dapat dinafikan juga bahawa semua kenaikan ini adalah berpunca
daripada kegagalan kerajaan melonjakkan tahap ekonomi sehingga hutang
negara terus bertambah, sementara pendapatan terus berkurangan. Ini
menyebabkan kerajaan hanya melihat kaedah menaikan harga barang,
menghapuskan subsidi dan meningkatkan kadar cukai untuk mengisi kantung
perbendaraan negara.
Ini menjadikan kegelisahan dan kemarahan rakyat makin kuat kedengaran di
mana-mana. Perdana Menteri, Najib Razak kini paling dipersalahkan atas
semua perkara ini kerana beliau dilihat sebagai nakhoda yang gagal.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara atau PAC, Nur Jazlan
Mohamed turut membayangkan bahawa pelbagai kenaikan yang berlaku
sekarang umpama BN sedang menempa kekalahan dalam PRU 14 nanti. Menurut
beliau, kenaikan ini menyebabkan rakyat, terutamanya pengundi bandar dan
separa bandar menjadi lebih marah kepada rakyat.
Katanya, jika dalam PRU 13 lalu BN di kalah di kawasan-kawasan tersebut,
dalam PRU 14 nanti kekalahan yang lebih teruk bakal diterima BN kesan
daripada peningkatan kos sara hidup ini.
Seorang pensyarah, Redhuan Tee Abdullah yang selama ini dilihat sentiasa
menyokong kerajaan, turut tidak dapat menyembunyikan rasa gelisahnya
dengan mengingatkan bahawa kenaikan kadar tol akan menyebabkan ramai
yang beralih untuk menyokong PR dalam pilihanraya akan datang.
Malah, secara berterus-terang juga beliau memberitahu, ramai
rakan-rakannya yang dulu pro BN tetapi kini sudah menyampah dengan
kerajaan.
Pemimpin pembangkang pula saban hari menyelar kegagalan Najib mengawal
kenaikan ini dan memintanya lebih memikirkan soal kebajikan serta
kesejahteaan rakyat.
Sebelum pilihanraya lalu, PR sudah banyak kali mengingatkan rakyat
bahawa pelbagai kenaikan akan berlaku sekiranya BN terus dikekalkan
memerintah negara ini. Dengan ingatan itu sudah menjadi kenyataan
sekarang kini, apa yang lebih mengharukan ialah Najib juga turut
memungkiri beberapa akujanjinya sendiri semasa kempen pilihanraya lalu.
Dalam keadaan semua rakyat tertekan sekarang ini, jika perlu menanam
azam untuk menyambut ketibaan tahun 2014 nanti, keazaman yang paling
munasabah bagi semua rakyat Malaysia ialah memastikan Najib dapat
diturunkan daripada kerusi Perdana Menteri yang sedang diempukinya.
Segala azam lain tidak akan lebih bermakna selain daripada azam untuk
menurunkan Najib sebagai Perdana Menteri. Najib kini sudah dilihat
sebagai liabiliti bagi rakyat negara ini dan lebih lama beliau berada di
kerusinya sekarang, pasti akan menjadikan kehidupan rakyat lebih
sengsara jadinya dan banyak kenaikan lagi akan dilakukan.
Bagi rakyat biasa, perubahan dan pembaharuan dalam kehidupan mereka
hanya mungkin berlaku setelah berlakunya perubahan dalam kepimpinan
negara. Bagi yang pro BN pula, sedarlah bahawa lagi lama Najib kekal
sebagai Perdana Menteri, lagi merosot sokongan rakyat. Dengan luahan
kemarahan semakin kuat daripada dalam UMNO dan BN sendiri, potensi untuk
BN kalah dalam pilihanraya akan datang lebih terbuka jika parti dan
kerajaan kekal dipimpin oleh Najib berbanding pemimpin lain.
Lagi pula, dengan majoriti rakyat meluahkan rasa marah terhadap Najib
sekarang ini, terus-terusan mahu mengekalkan Najib adalah petanda bahawa
UMNO dan BN juga turut tidak mengutamakan kepentingan rakyat.
Yakinlah bahawa negara ini akan lebih baik jika tanpa Najib.
Perkembangan kebelakangan ini menunjukkan beliau sudah hilang upaya dan
tandus kreativiti untuk terus memajukan negara serta memberi kebahagiaan
kepada rakyat.
Dengan semua rakyat, pro BN dan pro PR, masing-masing menjadikan hasrat
mahu menurunkan Najib sebagai azam tahun tahun 2014 ini, ia adalah
perjuangan murni yang tidak mustahil akan membuahkan kejayaan.
Tanamkanlan keazaman untuk menjadikan tahun 2014 permulaan untuk memberi
lebih tekanan dan desakan agar akhirnya Najib dapat diundurkan dan
punca segala masalah kesengsaraan rakyat dapat diatasi.
Sentiasalah ingat, suara rakyat tetap suara keramat. (SH 23/12/2013)
http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Nak beli domain dan nak buat website? boleh cuba link yang di beri...
-
Nak beli domain mudah dan servis terbaik....
* https://secure.gbnetwork.com/aff.php?aff=778 *
klik banner yang kami beri ini...
*Testimoni klik s...
3 tahun yang lalu