SHAH ALAM – Melaksanakan cuti hujung minggu pada hari Jumaat dilihat mampu memberi kelebihan khususnya kepada umat Islam.
Tokoh ilmuwan Islam dan juga pendakwah, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz
berkata, Jumaat adalah hari cuti buat umat Islam seperti yang termaktub
dalam al-Quran.
“Saya setuju sekiranya lebih banyak negeri yang laksanakan perkara ini
keranaJumaat itu memang hari cuti untuk orang Islam. Sekiranya ia
dilaksanakan, maka ia lebih memudahkan seseorang itu menjalani
tanggungjawab sebagai Muslim.
“Namun ada juga yang tidak setuju, kerana bagi mereka bercuti pada hari
Sabtu dan Ahad memudahkan mereka melakukan pelbagai aktiviti yang
menarik. Sepatutnya, kita tidak perlu menjadikan perkara yang ranting
menjadi pokok dan begitu sebaliknya,” katanya.
Katanya, sebagai negara Islam, perkara ini seharusnya menjadi keutamaan sama seperti negara Islam lain di dunia.
“Bercuti pada Sabtu dan Ahad adalah merupakan hari cuti yang diwarisi daripada penjajah di negara ini.
“Kalau penjajah boleh buat cuti pada dua hari ini, kenapa kita sebagai
negara Islam tidak boleh buat cuti pada Jumaat?,” katanya.
Menurutnya, beberapa negara Islam seluruh dunia yang melaksanakan perkara ini perlu dijadikan contoh terbaik.
“Saya tidak nampak ada sebarang masalah yang timbul kepada negara Islam
lain bila hari cutinya jatuh pada hari Jumaat. Sama juga di Kelantan
dan terbaharu di Johor.
“Mungkin pada awalnya memang ada penentangan, tapi saya percaya pada akhirnya orang akan mula menerima,” katanya.
Sinar Harian.