Selepas
lapan bulan berbincang, usaha Umno untuk berbincang ke arah perpaduan
dengan Pakatan gagal menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
(gambar) kini terdedah kepada pemberontakan daripada kalangan Umno
sendiri, lapor The Edge Review.
Mingguan online dalam laporannya bertajuk "When talk fails" (Bila
perbincangan gagal) melaporkan, Najib gagal meyakinkan pimpinan
tertinggi Umno untuk mewujudkan perpaduan dengan Pakatan pimpinan Datuk
Seri Anwar Ibrahim.
"Perbincangan itu… telah digunakan sebagai senjata untuk Najib menghadapi musuhnya di dalam partinya sendiri," katanya.
"Perbincangan itu tidak pergi ke mana-mana kerana pandangan umumnya
Umno tidak pernah jujur," kata rakan karib Anwar yang terlibat dalam
perbincangan sulit berkenaan kepada mingguan itu.
Najib telah menggunakan perbincangan itu untuk membentuk kerajaan
perpaduan selepas pencapaian buruk BN dalam pilihan raya umum lalu.
Pengundi telah memberikan undi popular kepada Pakatan dalam pilihan
raya umum lalu, memberikan mesej mereka sudah bosan dengan cara BN
mentadbir negara.
Isu yang utama adalah rasuah yang melampau dalam sektor awam dari pegawai rendah sehingga kepada pemimpin politik.
Perbincangan perpaduan yang diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
bagi pihak kerajaan telah membawa beliau kepada pemimpin pembangkang
termasuk dari PAS.
Bagaimanapun, sesetengah pihak dalam Umno tidak berminat dengan
laporannya dan meningkatkan serangan ke atas Najib, lapor mingguan itu.
Serangan berterusan ke atas Najib juga tidak dipertahankan oleh rakan-rakannya dalam Kabinet.
"Hanya sedikit sahaja keraguan bahawa Najib berada di kedudukan paling
lemah dari segi politiknya dan sebahagian besar dari masalah berpunca
dari dirinya sendiri," kata seorang ahli perniagaan yang rapat dengan
Najib sebagaimana dilaporkan The Edge Review.
Dalam menghadapi kedua-dua musuh iaitu pembangkang dan pihak dalam Umno
sendiri, mingguan itu menyifatkan keputusan Najib sebagai "strategi
risiko tinggi untuk hadapi krisis" dalam kepimpinan.
Tetapi selepas lapan bulan ke sana ke mari, pembangkang akhirnya letih
dengan cakap-cakap Najib untuk membentuk kerajaan perpaduan.
"Berdasarkan pengalaman lalu, ia adalah silap. Anwar menyertai
perbincangan ini atas keyakinan ia boleh membawa agenda pembaharuan,"
lapor mingguan itu berdasarkan kenyataan seorang pemimpin pembangkang.
Bagaimanapun, kata The Edge Review, rundingan berpanjangan Najib ini tidaklah sia-sia.
Perdana menteri sentiasa saja meniupkan berita perbincangan setiap kali
berlakunya krisis kepimpinan, termasuk ketika kemungkinan kepimpinan
beliau tercabar misalnya menjelang pembentangan Bajet 2014 Oktober lalu.
Bagaimana mingguan ini berkata, taktik Najib kali ini tidak akan berjaya lagi.
Ia termasuklah kerana kekurangan sokongan kepada Najib dari kerajaannya
sendiri dan juga meningkatnya kemarahan awam terhadap kepimpinan
beliau, kata The Edge Review, lebih-lebih lagi apabila banyak janji
menjelang pilihan raya yang tidak tertunai dan kelemahan pengurusan
telah menyusahkan Najib.
Artikel itu juga memetik kenyataan Ibrahim Sufian dari Merdeka Center
yang berkata,"Pada masa ini, dia kelihatan lumpuh tanpa sebarang
tindakan terhadap kesemua isu panas. Beliau sepatutnya berbesar hati
bahawa dia memenangi pilihan raya umum dan kepimpinan parti. Dia
sepatutnya memenuhi mandat yang diterima itu".
Mingguan itu memetik Ibrahim yang mencadangkan supaya Najib turun
menerangkan kepada rakyat kedudukan kewangan negara dan penyelesaian
yang diperlukan untuk meneguhkan ekonomi negara.
Beliau berkata, Najib juga patut memimpin melalui tauladan misalnya dengan memotong gaji anggota Kabinet termasuk dirinya.
Yang paling penting, mingguan itu meminta Najib membawa semula agenda kesederhanaannya itu.
"Dia kena tunjukkan keberaniannya untuk melawan tekanan itu hatta jika
ia diketuai sendiri oleh bekas perdana menteri. Dia kena tunjukkan
bahawa dia adalah pemimpin bukan sekadar ahli politik biasa," katanya.
"Bagi Malaysia, apa berlaku selepas ini adalah pilihan Najib." – 17 Januari, 2014.
TheMalaysiaInsider