PETALING JAYA - Pakej penggajian kakitangan awam yang ditentukan
kerajaan mempengaruhi dan menjadi rujukan kepada tangga gaji dalam
sektor lain khususnya swasta di negara ini.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa kegagalan kerajaan BN
melonjakkan kadar gaji di negara ini menyebabkan gaji purata dalam
sektor swasta terus rendah.
Ini berikutan dasar buruh sedia ada terlalu bergantung kepada buruh
asing yang murah sehingga mengetepikan tenaga kerja tempatan.
"Kerajaan bertanggungjawab menentukan kos buruh yang ditanggung majikan melalui pelbagai peraturan, yuran dan kos lain.
"Selagi kerajaan tidak mengambil langkah yang berkesan untuk menaikkan
gaji pekerja, GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) tidak boleh
dilaksanakan," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan rakan kongsi kanan
firma perakaunan dan percukaian KPMG Malaysia, Johan Idris semalam yang
menyatakan gaji perlu naik 6 peratus setiap tahun untuk mengimbangi
kenaikan kos akibat beberapa siri kenaikan harga barang dan pelaksanaan
GST pada tahun depan.
Rafizi dalam kenyataannya sebelum ini juga senada dengan kenaikan gaji
itu sambil mengulangi pendiriannya bahawa GST tidak boleh dilaksanakan
jika kerajaan tidak mengambil langkah yang berkesan untuk menaikkan gaji
pekerja.
Menurut beliau, pendapatan isi rumah perlu dinaikkan terlebih dahulu
secara berperingkat-peringkat sehinggalah purata isi rumah di negara ini
memperolehi pendapatan yang munasabah.
“PKR telah lama mencadangkan supaya purata pendapatan isi rumah minimum
sebanyak RM4,000 sebulan dicapai terlebih dahulu sebelum GST boleh
dipertimbangkan,” katanya lagi.
Sinar Harian