KOTA BHARU – Kukuhkan strategi dan tumpuan pada ideologi asal parti
perlu jadi keutamaan kedua-dua sayap Pakatan Rakyat (PR) negeri daripada
terus bertikam lidah berkenaan isu tidak penting.
Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Pusat, Hu Pang Chaw berkata,
strategi dan inspirasi baru diperlukan untuk memastikan kesinambungan
harapan kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dapat dilaksanakan.
“Kalau betul ada perkara yang perlu diselesaikan, perkara tersebut
perlu dijadikan perbincangan keluarga, sebab kita (PR) satu pakatan
merupakan satu keluarga yang memerlukan antara satu sama lain.
“Apa yang wujud ialah kerjasama berkumpulan, kena ada perancangan untuk tujuan utama perjuangan kita.
"Jika semua itu nampak jelas, maka perkara-perkara kecil seperti
isu-isu di negeri ini tidak akan menjadi besar, sebaliknya masing-masing
memikirkan cara untuk menghulurkan idea bagi memperkukuhkan lagi tali
ikatan yang ada,” katanya, semalam.
Beliau diminta mengulas isu keretakan hubungan antara kedua-dua parti
komponen itu apabila PKR mendakwa mereka seolah-olah dianaktirikan Pas
dalam beberapa hal yang berkaitan dengan pengurusan pentadbiran kerajaan
negeri.
Sinar Harian