SHAH ALAM - Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli hari ini menyifatkan
pemberian subsidi adalah kaedah terbaik kerajaan untuk mengagihkan
kekayaan negara, sekali gus dapat membantu meringankan beban rakyat.
Rafizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Pandan menjelaskan, adalah
menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memulangkan semula hasil kekayaan
negara kepada rakyat yang menjadi tulang belakang dalam pertumbuhan
ekonomi negara.
“Hasil pendapatan negara meningkat sebanyak tiga kali ganda sepanjang tempoh sepuluh tahun ini.
“… bagi saya ianya perlu diagihkan kepada rakyat… rakyat berhak mendapat hasil tersebut.
"Oleh itu kaedah yang terbaik adalah menerusi pemberian subsidi, kerana
semua akan dapat, Insya-ALLAH ekonomi rakyat bertambah baik,” katanya
ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta menggulas kenyataan pakar
ekonomi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin
Baharudin mengenai tindakan kerajaan yang asalnya berjanji untuk memberi
subsidi kepada rakyat, kemudiannya memansuhkannya semula, sekali gus
membawa ‘bencana’ kepada rakyat.
Subsidi mula dikurangkan setelah perdana menteri memperkenalkan program
rasionalisasi subsidi yang dimulakan pada 2010 dengan mengurangkan
subsidi bahan bakar.
Sinar Harian