SHAH ALAM, 20 JULAI : Hasrat Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat
semakan naik terhadap tarif elektrik di negara ini disifatkan bukan
sesuatu yang pelik, sebaliknya sudah dijangka sebelum berlangsungnya
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lagi, kata Naib Presiden PKR, Tian
Chua.
Tian Chua ketika dihubungi TV Selangor mendakwa, antara punca
berlakunya kenaikan tarif elektrik saban tahun adalah disebabkan oleh
perjanjian antara ‘syarikat kroni’ atau Pengeluar Tenaga Bebas (IPP)
bersama TNB sehingga menjadikan syarikat utiliti kuasa negara itu
dibebani dengan kos yang terlalu tinggi.
Ekoran perjanjian itu katanya, syarikat kroni berkenaan mengaut
untung yang besar di mana akhirnya TNB terpaksa menggunakan alasan
mengalihkan bebanan kos yang tinggi itu kepada pengguna.
“Syarikat kroni ini menerima subsidi daripada Kerajaan Pusat dan
akhirnya meraih keuntungan yang besar, namun menyebabkan TNB terbeban
dengan kenaikan kos yang tinggi dan mengalihkannya kepada pengguna.
“Kerajaan membuat sususan begitu apabila memberi kuasa kepada IPP yang mana berbalik kepada TNB dan kembali kepada rakyat.
“Ini adalah sistem kroni yang diamalkan Umno-BN sejak dahulu lagi,”
katanya ketika mengulas kenyataan Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie
bahawa pihaknya berkemungkinan akan membuat semakan semula ke atas
tarif elektrik ekoran hasrat Kerajaan Pusat untuk mengurangkan subsidi
bagi tenaga elektrik.
Moggie berkata, kerajaan telah memberikan subsidi tarif yang besar sekarang khususnya bagi gas.
Selangorku