Saya membaca keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut melalui akhbar
tempatan hari ini yang menyaksikan PAS gagal menawan DUN Kuala Besut
daripada penguasaan Umno/Barisan Nasional. Dalam erti kata lain, tawaran
PAS kepada rakyat Kuala Besut untuk posisi 16 : 16 ditolak oleh rakyat
DUN Kuala Besut yang mengambil keputusan untuk terus memangkah Umno
kelmarin.
Saya secara peribadi tidak terkejut dengan keputusan
ini. Pengalaman saya turun beberapa kali membantu calon PAS berkempen
dalam pilihan raya kecil ini termasuk meninjau suasana hari pengundian
memberikan gambaran kepada saya suasana kehidupan masyarakat di DUN ini.
Kehidupan rata-rata rakyat Kuala Besut yang mencari pendapatan sebagai
nelayan memberikan peluang yang cerah kepada Umno/Barisan Nasional
menabur sebanyak mungkin projek dan habuan wang ringgit.
Inilah
rahsia sebenar kekuatan Umno. Kesusahan dan kesempitan hidup rakyat
diambil kesempatan sehabis mungkin bagi memberikan kemenangan kepada
mereka. Perhatikan sahaja di seluruh Malaysia ini, kesemua ibu negeri
ditawan oleh Pakatan Rakyat kecuali dua sahaja jatuh ke tangan Barisan
Nasional. Secara logiknya, ibu negeri tentulah tempat berhimpunnya
tenaga cerdik pandai dan berpendidikan tinggi. Dan di sinilah
Umno/Barisan Nasional gagal kerana kekuatan wang dan kebendaan ada
sempadannya.
Di sinilah letaknya tugas PAS selaku parti yang
membawa mesej perjuangan Islam. Di Kuala Besut yang rata-rata
penduduknya bergantung kepada pencarian mata pendapatan cara kampung
berada dalam tekanan hidup yang tinggi dan sukar untuk membuat pilihan
yang terbaik untuk taraf kehidupan mereka sendiri dalam jangka masa
panjang. Apatah lagi untuk berfikir demi kepentingan agama. Pada saya,
apa yang disebut sebagai penyakit ghaplah (lalai) merajai benak fikir
rata-rata penduduk sehingga mengenepikan tanggungjawab terhadap agama
mereka sendiri.
Inilah tugas gerakan Islam. Menyambung tugas
Rasulullah SAW yang memikul tugas menghapuskan penyakit ghaplah ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Supaya engkau memberi peringatan
dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan
peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.” (Surah Yasin : ayat 6).
Perbezaan
utama Kuala Besut dengan Pasir Puteh di Kelantan ialah budaya ilmu.
Daripada budaya ilmu inilah akan lahirnya masyarakat yang sentiasa
beringat-ingat tentang dosa dan pahala. Sebab itu di antara perkara
terawal yang dilakukan di Kelantan setelah PAS mengambil alih teraju
pemerintahan pada tahun 1990 ialah menubuhkan Unit Halaqat. Ini bukan
satu kerja sambil lewa kerana hanya mahu mengharapkan peruntukan
kerajaan. Ia sebenarnya misi kerajaan negeri untuk mendidik rakyat
melalui pembudayaan ilmu di masjid-masjid yang dikendalikan oleh Unit
Halaqat.
Manusia apabila berilmu akan menolak Umno/Barisan
Nasional yang jelas dan terang melawan aspirasi perjuangan Islam. Bukan
mereka menolak Umno/Barisan Nasional dengan emosi dan taksub, tetapi
mereka menolak dengan pertimbangan ilmu yang dipelajari. Dengan ilmu,
mereka membezakan intan dan kaca. Tanpa ilmu, jiwa akan kosong umpama
tin kosong yang hanya dipenuhi oleh sampah sarap.
Lihat sahaja
dakwah Rasulullah SAW di Mekah, ditolak habis-habisan oleh masyarakat
Mekah yang rata-ratanya hidup dalam permusuhan panjang dan konflik
sosial yang tinggi. Namun di Madinah yang agak maju sedikit dengan
perkembangan ilmu dengan kehadiran ahli Kitab, Islam mudah diterima oleh
penduduk di sana.
Nyata sekali Kuala Besut adalah ‘kuala
ujian’. Ujian untuk penduduknya yang ditawarkan pembangunan ratusan juta
yang akhirnya ramai yang lemas di ‘kuala ujian’ ini. Ia juga medan
ujian kepada petugas-petugas parti PAS yang datang dari seluruh negara
namun akhirnya terpaksa menerima keputusan tewas.
Hakikatnya, ini
bukan kali pertama PAS tewas di dalam pilihan raya. Saya mendoakan
kesemua petugas parti PAS yang berpenat lelah di bulan Ramadhan ini demi
kemenangan calon mereka diberikan ganjaran oleh Allah SWT. Inilah bekal
kita yang paling berharga iaitu kita mengharapkan pahala daripada Allah
SWT. Perhatikanlah ayat al-Quran yang bermaksud:
“Jangan kamu
merasa hina (hilang semangat) memburu musuh kerana jika kamu merasa
sakit mereka juga merasa sakit seperti kamu merasainya sedangkan kamu
pula berharap kepada Allah apa yang mereka tidak harapkan.” (Surah al-Nisa’ : ayat 104).
Kita
bertanding di dalam pilihan raya untuk menang. Kita mungkin sedih jika
tewas, tetapi jangan sesekali kita kecewa. Segera bangkit dan meneruskan
perjuangan kerana perjuangan Islam sekiranya berpijak di lantai ikhlas
pasti dihadiahkan dengan pahala!
Salam hormat.
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh : 16 Ramadhan 1434H bersamaan 25 Julai 2013M