PELABUHAN KLANG 28 JULAI : Kerajaan Negeri akan mula berjumpa dengan
syarikat-syarikat yang mengendalikan sektor pembangunan bagi merangka
pembangunan secara bersama dengan penduduk kampung.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perjumpaan
terbabit akan dilakukan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
Katanya, pihaknya sudah membuat kajian bagi mencantumkan ketiga-tiga
bahagian di Pelabuhan Klang itu yang terdiri daripada kampung,
pembangunan baru dan kawasan perindustrian.
“Tujuan saya ini supaya dapat mencantumkan ketiga-tiga bahagian itu
agar masyarakat sekitar khususnya kampung dapat merasai pembangunan.
“Tiada guna ada bangunan berpuluh tingkat dan beratus juta tetapi orang kampung hanya tengok saja.
“Jadi kita mahu syarikat yang mengendalikan pembangunan itu akan
merangka pembangunan secara bersama dengan melibatkan penduduk kampung.
Jadi kita akan jumpa mereka untuk perlaksanaan itu,” katanya dalam
ucapannya di Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat bagi Dun Pelabuhan
Klang di Masjid Sultan Pulau Indah.
Hadir sama Pemangku Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ehsan Mukri dan Ahli Majlis MPK, Norhisham Aziz.
Dalam pada itu, Abdul Khalid turut memaklumkan beliau sudah meminta
untuk berjumpa dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah
bagi membincangkan untuk memperhebatkan lagi pembangunan di Dun
terbabit.
“Janji masa pilihanraya umum ke 13, untuk minta Kerajaan Pusat meningkatkan tahap prasarana di sini.
“Jadi saya sudah membisikkan perkara ini dengan Menteri itu, saya
harap ia dapat dilakukan dalam masa terdekat.Usaha kita ialah usaha
berterusan kerana mahu rakyat tidak ketinggalan,” katanya.
Dalam majlis itu, seramai 100 penduduk dari empat buah kampung
menerima Kupon Membeli Belah di bawah program Jom Shopping sempena Hari
Raya yang bernilai RM100.
Empat kampung itu terdiri daripada Kampung Perigi Nenas, Teluk Nipah, Pinang dan Sungai Kembung.
Penerima, Aishah Kasbari, 82, menyifatkan pemberian itu sebagai bantuan meringankan beban keluarga penerima.
“Dengan kupon ini, kita dapat membeli barangan keperluan yang akan digunakan menjelang Hari Raya nanti,” katanya.
Selangorku