KUALA LUMPUR 9 JULAI : Pas yakin akan mencapai kemenangan dalam
Pilihanraya Kecil Kuala Besut yang akan diadakan pada 24 Julai ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata walaupun Umno-BN
memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Besut dengan majoriti yang
selesa dalam pilihanraya umum ke-13, Pas masih ada peluang untuk
menakluk kerusi itu.
“Kita masih ada peluang untuk menang. Kita sudah ada calon, lepas
tengok calon BN. Baru kita boleh tahu berapa peratus kita akan menang,”
katanya dalam sidang media, di sini.
Husam turut menyifatkan kenyataan Ketua Umno Besut, Datuk Seri Idris
Jusoh yang menyatakan Umno akan mempertahankan kemenangan itu dengan
majoriti yang lebih besar sebagai kenyataan yang ‘angkuh’.
“Walaupun majoriti BN menang itu besar dan sah, namun PRK ini adalah tugas yang berat.
“Saya yakin rakyat boleh menilainya secara keseluruhannya. Jika Pas
menang, agenda rakyat dapat dirangka dengan komprehensif,” katanya.
Beliau yang juga Pengarah Pilihanraya berkata calon yang akan
bertanding pada pilihanraya itu akan diumumkan malam ini oleh Presiden
Pas, Datuk Seri Hadi Awang.
Dalam PRU-13, Dr A. Rahman Mokhtar daripada Umno-BN memenangi kerusi Kuala Besut dengan majoriti 2,434 undi.
Selangorku