SHAH
ALAM 25 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerugian RM322,471
berikutan penganjur perlawanan persahabatan bola sepak antara Malaysia
dengan FC Barcelona menggunakan cek tendang.
Cek itu adalah bayaran penyewaan Stadium Shah Alam daripada penganjur BSC Soccer (M) Sdn Bhd pada perlawanan 10 Ogos lalu.
Hal itu disedari 20 Ogos lalu apabila bank memaklumkan cek yang
dideposit MBSA tidak boleh ditunaikan kerana memerlukan tandatangan
pihak kedua dari penganjur.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata MBSA
sudah membuat laporan polis selain membawa perkara itu kepada
Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persekutuan
Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MBSA
hari ini, beliau berkata, penganjur juga boleh disenarai hitam dari
menganjurkan sebarang acara khususnya membabitkan sukan bola sepak di
Selangor.
“Penganjur dikenakan bayaran sewaan penggunaan Stadium Shah Alam
RM300,000 untuk perlawanan sebenar dan RM42,471 untuk latihan pasukan
Barcelona.
“Penganjur hanya bayar
RM20,000 untuk penyewaan stadium untuk latihan
dan cek tendang bernilai
RM300,000 pula diberi kepada MBSA sebaik
sahaja perlawanan persahabatan berakhir,” katanya
Selain kerugian hasil sewaan, Mohd Jaafar berkata, MBSA juga terpaksa menanggung kos kerja pembersihan dan lampu sorot stadium.
- FZL
Selangorku