Berjimat Suruhan Islam, Bukan Kerana Defisit Tinggi
Saya membaca saranan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir
Mohamad di muka hadapan Sinar Harian hari ini yang menggesa kerajaan
agar berjimat cermat dan jangan boros apabila berbelanja. Katanya,
negara kita kini mengalami defisit dalam perbelanjaan, jadi tidak ada
cara lain untuk mengawal keadaan kecuali berjimat cermat.
Barangkali Tun
Dr Mahathir baru sedar bahawa selama ini kerajaan Malaysia sudah banyak
membazir di dalam perbelanjaannya. Apabila minyak terpaksa dinaikkan 20
sen hanya untuk mendapatkan pulangan sebanyak RM3.3 billion yang lebih
daripada itu dihabiskan untuk tujuan lain, barulah Tun bersuara.
Suka untuk saya menyebut bahawa berjimat cermat ini ialah perintah
Islam. Ia bukan kerana defisit tinggi atau harga minyak naik, tetapi
kerana ia memang merupakan suruhan Islam. Di waktu mewah pun Islam
memerintahkan agar kita berjimat apatah lagi di waktu susah. Inilah
didikan Rasulullah SAW kepada para sahabat. Bacalah teguran Rasulullah
SAW kepada seorang sahabat yang bernama Saad Radhiallahuanhu ketika
beliau sedang berwudhuk, setelah dilihat ada unsur pembaziran di dalam
wudhuk Saad Radhiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabada : مَا هَذَا السَّرَفُ فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ
yang bermaksud : Apakah pembaziran in? Lalu Saad berkata : Adakah di
dalam wuhduk pun ada pembaziran? Rasulullah SAW bersabda : Ya, sekalipun
kamu berada di dalam sungai yang mengalir - Hadis riwayat Ibnu Majah
dan Ahmad.
Jika di dalam sungai yang mengalir pun, mengambil
wudhuk dengan air yang berlebihan dianggap membazir, apatah lagi jika di
dalam keadaan air yang tidak mencukupi. Demikianlah perbelanjaan
negara, projek-projek besar yang terbengkalai, pelaburan di luar negeri
yang menggunakan duit rakyat yang merugikan bernilai ratusan juta
ringgit akhirnya dipaksakan ke atas bahu rakyat untuk menanggungnya
jelas sekali merupakan satu pilihan yang zalim dan tidak kena pada
tempatnya.
Ketika saya mula-mula mentadbir negeri Kelantan pada
tahun 1990, dasar jimat cermat inilah yang saya arah digunapakai dalam
semua urusan kerajaan. Gaji bulanan Menteri Besar, ahli exco dan wakil
rakyat kerajaan dipotong, sebahagiannya dijadikan sumbangan tetap untuk
parti. Saya mengarahkan agar amalan memberikan cenderamata kepada
pemimpin kerajaan ketika lawatan rasmi ke jabatan dan agensi kerajaan.
Tujuannya tidak lain hanyalah untuk untuk mengelakkan pembaziran dan
perbelanjaan ke atas tujuan yang tidak perlu.
Saya menolak
peruntukan untuk keraian Hari Raya dan Juadah Berbuka Puasa yang
masing-masing berjumlah RM30,000 dan RM15,000 setiap tahun bermula tahun
1990. Saya tidak mendiami kediaman rasmi Menteri Besar di JKR10 bagi
mengelakkan perbelanjaan mengurustadbir rumah tersebut dan menyelamatkan
kantung kerajaan. Pada masa itu, Tun Dr Mahathir masih Perdana Menteri
Malaysia yang seringkali mempertikaikan apa jua langkah positif yang
dibuat oleh kerajaan negeri Kelantan.
Bahkan masih
terngiang-ngiang di telinga saya tuduhan yang menyatakan bahawa amalan
memberikan cuti dua hari seminggu kepada kakitangan kerajaan negeri
hanya akan menyebabkan mereka menjadi malas. Tanpa segan dan tanpa silu,
itulah yang ditiru kemudiannya oleh kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr
Mahathir. Dari sudut penjimatan, tambahan cuti sehari dalam seminggu ini
menjimatkan banyak bekalan eletrik yang digunakan di pejabat-pejabat
kerajaan.
Saya sokong saranan Tun Dr Mahathir agar kerajaan
berjimat. Ia bagus namun agak lewat. Tetapi lewat itu lebih baik dari
langsung tiada. Barangkali Tun Dr Mahathir berpegang kepada prinsip
better late then never. Tahniahlah, namun sesekali apabila memberikan
saranan yang sesuai dengan Islam, saya kira apa salahnya berikan kredit
kepada Islam.
Ertinya, berjimat cermat bukan hanya kerana
defisit naik, bukan kerana perbelanjaan meningkat tetapi berjimat cermat
kerana itulah suruhan agama. Saya tidak rasa lidah kita terlalu kekok
sehingga menghalang untuk menyebut Islam.
Itulah Islam, agama
yang syumul dan menyeluruh. Islam bukan hanya agama kopiah dan serban
sahaja. Inilah yang wajib diketahui oleh pemimpin parti politik sekular
yang hari ini dilihat banyak memakai kopiah dan menghiasi dada-dada
akhbar dengan gambar berkopiah mereka.
Sekian.
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Al-Mursyidul Am, Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh : 29 Syawwal 1434H bersamaan 5 September 2013M
Dr Mahathir sokong Anwar jadi PM
-
[image: Mahathir sokong Anwar jadi PM]
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan
sokongan beliau kepada Ketua Umum PKR, Da...