SHAH
ALAM, 18 SEPTEMBER –
“Selagi aku hidup, selagi aku Pesuruhjaya, takkan
kulayan benda (kerjasama PAS-Umno) ini, kata Pesuruhjaya PAS Selangor,
Dr Abdul Rani Osman.
Beliau berkata, Umno-BN hanya menghulur tangan untuk berbaik-baik
hanya apabila mereka dalam keadaan ‘lemas’ dan cuba mendapatkan bantuan
demi survival politik mereka.
Katanya, Umno BN perlu merubah dasar perjuangan mereka jika
benar-benar mahu bekerjasama dengan PAS dalam soal penyatuan umat Islam
dan bangsa Melayu.
“Berdasarkan pengalaman, kalau dia menghulurkan tangan, dia sedang
dalam keadaan nak lemas. Dia (Umno-BN) ada krisis. Pengalaman mengajar
kita,” katanya.
Laporan media hari ini memaparkan kenyataan Timbalan Presiden Umno,
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kerjasama antara PAS dan Umno
untuk menyatupadukan orang Melayu serta umat Islam bukan mustahil.
Bercakap pada sidang media, Abdul Rani berkata, hal itu berulang kali
dimainkan tetapi Umno BN tidak memperlihat kesungguhan sebaliknya
membuat banyak halangan seperti isu air Selangor.
Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungib pula berkata banyak dasar
Umno yang zalim dan tidak dipersetujui PAS menyebabkan kerjasama sukar
berlaku.
“Kita lihat sekarang ada usaha untuk mengembalikan ISA, ini akta zalim. Banyak pemimpin Pas yang dihukum menggunakan akta itu.
“Kalau masih dengan dasar zalim, macam mana mahu bekerjasama?
Muryidul Am selalu tegaskan – mahu kerjasama Umno perlu ubah kepada
Islam,” kata bekas tahanan ISA itu.
- FZL
Selangorku