KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal apabila
cadangannya untuk mengadakan dialog terbuka dengan kerajaan
diputarbelitkan pemimpin Umno.
Anwar juga mengulangi pendirian dan menafikan bahawa dialog kebangsaan
itu bukannya untuk membincangkan soal kerajaan perpaduan seperti mana
yang dilakukan oleh sebilangan kecil bekas pemimpin Pas tidak lama
dahulu.
"Dia (Khairy) tidak baca mesej merdeka saya, kenyataan saya hanya merujuk kepada hal itu (dialog).
"Saya hanya sentuh empat isu iaitu tadbir urus, jenayah, ekonomi dan
hubungan kaum," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden
Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang mengatakan beberapa
anggota Majlis Tertinggi Umno mempersoalkan cadangan dialog terbuka itu.
Hishammuddin juga mengakui isu itu antara dibincang dalam mesyuarat MT
Umno pada 30 Ogos lalu yang mencapai keputusan kolektif dan menyuarakan
kemusykilan terhadap niat sebenar usul itu dikemukakan sekian lama Anwar
mengambil pendekatan tidak berkompromi dengan sebarang rundingan dengan
Umno.
Dalam pada itu, Anwar juga mempersoalkan tindakan Khairy yang
mempertikaikan cadangannya dengan menyifatkan ia sebagai kegagalan Umno
dan kepimpinannya.
Beliau menegaskan Khairy juga perlu berani menyahut seruannya
mengadakan dialog terbuka dengan kerajaan bagi membincangkan 'isu-isu
kebangsaan'.
"Dia (Khairy) pun takut untuk berdialog, apa yang dia mahukan? Berdebat
pun dia tidak bersedia, apatah lagi berdialog secara terbuka.
"Tiada negara demokrasi yang mana kerajaannya menolak untuk mengadakan dialog dengan pembangkang," katanya lagi.
Sinar Harian