Kegagalan Syarikat Bekalan Air Syabas (Syabas) menyelia dan
menyelenggara rumah pam di Wangsa Maju sehingga menyebabkan gangguan
bekalan air yang semakin meruncing di sekitar Selangor Timur (meliputi
Parlimen Pandan, Ampang, Gombak, Wangsa Maju dan Setiawangsa)
benar-benar mengecewakan rakyat dan tidak boleh diterima sama sekali.
Selepas kejadian yang menyebabkan gangguan bekalan air selama tiga
minggu dalam bulan Disember 2012, kegagalan yang sama berulang
melibatkan rumah pam yang sama.
Ini
memburukkan lagi keadaan di seluruh Selangor apabila kawasan-kawasan
lain seperti Puchong dan Kelana Jaya turut terjejas. Syabas seringkali
hanya memberi kenyataan mudah menyalahkan kadar penggunaan air yang kian
bertambah yang menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan-kawasan
terbabit.
Kegagalan Syabas untuk menyelia/menyenggara rumah pam Wangsa Maju
dengan baik (untuk mengelakkan kerosakan yang berlaku dalam bulan
Disember 2012 berulang) dan merancang untuk memastikan bekalan air
sentiasa bertepatan dengan kadar penggunaan air semasa membayangkan
kelemahan-kelemahan ketara dalam pengurusan dan operasi Syabas.
Sebagai pemegang konsesi yang memonopoli bekalan air di Lembah Klang,
kelemahan-kelemahan ini tidak boleh diterima sama sekali oleh pengguna.
Syabas mempunyai tanggungjawab untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan
ini dan selagi gangguan berterusan akibat kelemahan-kelemahan ini,
perlulah memberi pampasan kepada pengguna yang terkesan dari gangguan
bekalan air.
Oleh yang demikian, sebagai Ahli Parlimen di salah sebuah kawasan
yang paling terkesan dengan gangguan bekalan ini, saya telah membuat
keputusan untuk memfailkan seberapa banyak kes tuntutan terhadap Syabas
di Tribunal Tuntutan Pengguna mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Mengikut Seksyen 53, Akta Perlindungan Pengguna 1999, “Jika
perkhidmatan dibekalkan kepada pengguna, maka hendaklah tersirat suatu
gerenti bahawa perkhidmatan itu akan dijalankan dengan ketelitian dan
kemahiran yang munasabah.” Jika Syabas mempunyai ketelitian dan
kemahiran yang munasabah, kelemahan-kelemahan yang menyebabkan gangguan
bekalan air berulang telah lama dapat diatasi.
Pusat Khidmat Parlimen Pandan akan menghubungi seberapa banyak
isirumah yang terjejas dengan gangguan bekalan air dan akan memfailkan
kes terhadap SYABAS untuk menuntut pampasan di Tribunal Tuntutan
Pengguna. Pengguna juga boleh mengisi sendiri maklumat di blog saya
www.rafiziramli.com/tribunalpengguna. Saya mensasarkan
sekurang-kurangnya 1,000 kes untuk difailkan terhadap Syabas bermula
minggu depan.
Langkah untuk memaksa Syabas bertanggungjawab kepada rakyat perlu
bermula dengan memastikan Syabas memberi pampasan kepada pengguna yang
terjejas setiap kali ada gangguan bekalan air. Selagi tidak ada kempen
tersusun untuk memaksa SYABAS memberi pampasan kepada rakyat, selagi
itulah Syabas tidak menghiraukan kesusahan yang dihadapi rakyat setiap
kali gangguan bekalan air berlaku.
Saya telah menghubungi YB Azmin Ali (Gombak), YB Zuraida Kamaruddin
(Ampang), YB Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju), YB Hannah Yeoh (Subang
Jaya), YB Tiew Way Keng (Teratai), YB Iskandar Abdul Samad (Cempaka), YB
Wong Chen (Kelana Jaya) dan YB Gobind Singh Deo (Puchong) untuk
memulakan kempen tersusun memaksa Syabas memberikan pampasan kepada
pengguna yang terjejas setiap kali ada gangguan bekalan air.
Saya juga telah menulis secara rasmi kepada Tan Sri Rozalli Ismail,
Pengerusi Syabas untuk beliau turun sendiri ke Pandan menerangkan kepada
penduduk sebab-sebab kegagalan Syabas membekalkan air dengan baik
seperti yang diamanahkan mengikut perjanjian konsesi.
Rafizi Ramli
Pengarah Strategi KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan
Nak beli domain dan nak buat website? boleh cuba link yang di beri...
-
Nak beli domain mudah dan servis terbaik....
* https://secure.gbnetwork.com/aff.php?aff=778 *
klik banner yang kami beri ini...
*Testimoni klik s...
3 tahun yang lalu