Membaca laporan melalui akhbar portal berita Malaysiakini, saya amat
tertarik dengan pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan,
Datuk Ahmad Maslan hari ini (25 November 2013) di Parlimen yang
menyatakan bahawa kadar hutang negara telah meningkat kepada 53.6
peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga akhir
September tahun ini. Menurutnya, hutang negara kini berjumlah RM529.6
bilion, satu angka yang disifatkannya sebagai masih lagi dalam keadaan
terkawal.
Saya menyifatkan angka ini sebagai satu angka yang
amat menggerunkan kita semua rakyat Malaysia. Perlu diingatkan bahawa,
sekiranya angka hutang melebihi kadar 55 peratus berbanding KDNK, ia
telah melebihi angka maksimum yang ditetapkan oleh Akta Pinjaman
Tempatan (1959) yang mengehadkan hutang negara pada had siling 55
peratus. Jika ia berlaku, negara sebenarnya sudah di ambang bangkrap!
Lebih membimbangkan apabila Ahmad Maslan di dalam masa yang sama
menyatakan bahawa kerajaan turut menjamin sebanyak RM147.3 bilion
pinjaman yang dibuat badan berkanun dan syarikat kerajaan. Namun
katanya, jaminan ini yang dikelaskan sebagai tanggungan tidak langsung,
tidak dikira dalam hutang kerajaan.
Saya menyifatkan kenyataan
ini tidak lebih hanyalah ‘off balance sheet financing’ iaitu
menyembunyikan pendedahan penuh hutang kerajaan kepada umum. Jaminan
kerajaan sekalipun pada asasnya bukan merupakan hutang tetapi pada
hakikatnya ia telah menjadi tanggungan yang perlu dilangsaikan oleh
kerajaan jika ia gagal dilunaskan. Sebagai contoh, jaminan kerajaan
untuk projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang bernilai
RM3.6 bilion telah mengakibatkan kerajaan pusat terpaksa menambah
sekurang-kurangnya RM4.6 bilion dalam bentuk pinjaman untuk
menyelamatkan secara bail out projek tersebut. Kosnya dikatakan telah
meningkat sehingga RM12.5 bilion. Hakikatnya, jika dijumlahkan hutang
kerajaan sebanyak RM529.6 billion dengan jaminan kerajaan berjumlah
RM147.3 billion, ia akan membentuk jumlah sebanyak RM676.9 billion yang
sebenarnya merupakan 68.5 peratus daripada KDNK!
Saya ingin
mengajak semua pihak melihat senario ini sebagai satu senario yang amat
membimbangkan. Gaya perbelanjaan dan amalan berhutang yang diamalkan
oleh kerajaan Malaysia sebenarnya sedang berada di tahap yang amat parah
dan semakin menjadi-jadi semenjak akhir-akhir ini. Sebagai perbandingan
pada tahun 2007 jumlah hutang negara hanya RM266.72 billion yang
membentuk nisbah 41.58 peratus dari KDNK (pada masa itu RM641.499
billion). Ia terus meningkat pada 2008 di mana angka hutang
ialahRM306.386 billion iaitu 41.37 peratus dari KDNK (RM740.721
billion). Ia menjadi-jadi di zaman pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Tun
Razak sebagai Perdana Menteri sehinggalah ke hari ini di mana angka
hutang yang diisytiharkan ialah RM529.6 billion iaitu 53.6 peratus jika
dinisbahkan dengan KDNK.
Kerajaan Barisan Nasional sering
berdolak dalih tentang bahawa kerajaan perlu berjimat dan selalunya yang
akan dikorbankan adalah subsidi kepada rakyat. Apabila ingin berjimat
perkara pertama yang akan dipotong adalah subsidi kepada rakyat.
Kerajaan tidak pernah berbicara tentang pembaziran puluhan billion
tiap-tiap tahun dan bagaimana kerajaan seringkali terlebih belanja
(overspent). Akhirnya rakyat juga yang menjadi mangsa akibat pemotongan
subsidi. Hutang kerajaan terus juga meningkat saban tahun.
Projek gagal seperti PKFZ, NFC, bail-out kepada Perwaja, MAS yang
melibatkan billion-billion ringgit menyumbang kepada kenaikan
perbelanjaan kerajaan. Kesudahannya rakyat (pembayar cukai) juga yang
terpaksa menanggung bebanan perbelanjaan dan hutang akibat projek-projek
mega yang gagal dan 'projek' bail-out kroni.
Saya mengajak
rakyat Malaysia keseluruhannya agar menyedari ke mana hala tuju ekonomi
yang sedang dibawa oleh UMNO dan Barisan Nasional. Kita tidak mahu
Malaysia mengikut jejak negara Eropah seperti Greece, Spain dan Ireland
yang merudum ekonominya dek kerana hutang yang melampau. UMNO dan
Barisan Nasional sememangnya tidak akan berpisah daripada pembaziran dan
penyalahgunaan wang rakyat. Amalan ini wajib dihentikan. Dalam hal ini,
Najib tidak perlu menggunakan lilin untuk meraikan tetamu, cukup
sekadar mendisiplinkan dirinya, ahli keluarganya (termasuk isterinya)
serta kerajaannya dari menjadikan harta kerajaan sebagai milik peribadi.
Persoalannya, setelah UMNO dan pembaziran menjadi sebati, mampukah mereka melakukan demikian? Salam 1Malaysia.
AHMAD FADHLI BIN SHAARI
Bertarikh : 25 November 2013
* penulis merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan yang juga Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan
Dr Mahathir sokong Anwar jadi PM
-
[image: Mahathir sokong Anwar jadi PM]
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan
sokongan beliau kepada Ketua Umum PKR, Da...