Kadar gaji munasabah, kata Khalid
SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menekankan
kenaikan gajinya, Speaker, Timbalan Speaker, Ahli Mesyuarat Kerajaan
Negeri dan Adun adalah munasabah kerana masih tidak melebihi kenaikan di
Sarawak.
Menurutnya, kadar kenaikan berbeza-beza tersebut adalah kerana ia dibuat berdasarkan gaji asal serta berpandukan Sarawak.
Beliau berkata, sudah pasti akan timbul pihak mempersoalkan kadar
kenaikan itu dan lebih baik kenaikan itu dibuat secara terbuka.
“Memang biasalah kalau kita naikkan gaji itu yang akan berlaku, jadi
lebih baik buat secara terbuka dan tentukan pendapatannya. Ini
menunjukkan kita telus dan pendapatan itu sesuai untuk wakil rakyat,
Exco dan seterusnya,” katanya ditemui pemberita di sidang Dun, semalam.
Abdul Khalid berkata, kenaikan seperti itu juga membantu wakil rakyat
dari melakukan kerja lain untuk mencari pendapatan tambahan.
“Ini yang berlaku... boleh jadi ada menteri cari duit luar untuk
membiayai kerja-kerja dia. Jadi itu sukar untuk kita,” katanya.
Ditanya sama ada beliau mempertimbangkan pandangan rakyat semasa
membuat keputusan tersebut, Abdul Khalid berkata, pandangan rakyat
sentiasa diutamakan, maka beliau memutuskan kenaikan tersebut
dilaksanakan mesti tidak melebihi Sarawak.
Malah, Abdul Khalid berkata, ia mendapat kelulusan semua pihak tidak
kira PR atau BN yang sebulat suara menyokong usul tersebut.
“Ia sudah diluluskan dewan, tidak akan ditangguhkan,” katanya mengulas
gesaan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Azmin Ali yang
mencadangkan Abdul Khalid mengkaji semula kenaikan tersebut.
Sinar Harian