Datuk
Seri Anwar Ibrahim (gambar) mendakwa pengambilalihan syarikat Padiberas
Nasional Berhad (Bernas) oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary hanya
menguntungkan taikun Melayu tersebut.
Ketua Pembangkang itu berkata, penguasaan Syed Mokhtar dalam Bernas
terpesong dengan niat asalnya untuk membela nasib petani dan memastikan
keperluan beras negara dipenuhi.
“Kita patut ingat niat asal penswastaan Bernas bukan sahaja untuk memastikan keperluan beras negara dipenuhi.
"Tetapi untuk memastikan petani, pengedar Bumiputera dan pekerja Bernas
mendapat manfaat daripada milikan ekuiti penswastaan tersebut," katanya
pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, berbeza pada 1995 iaitu
sebanyak 45 peratus pegangan Bernas menjadi milik petani dan staf
Bernas, syarikat padi tersebut kini hanya dikuasai oleh seorang individu
sahaja iaitu Syed Mokhtar.
"Hingga hujung 2009, milikan ini mulai dibeli seorang individu bernama
Syed Mokhtar melalui syarikat-syarikat miliknya (Gandingan Bersepada Sdn
Bhd dan Tradewinds) menyebabkan beliau memiliki 53.7% Bernas," katanya.
Anwar berkata, pengambilalihan oleh taikun Melayu itu sememangnya sudah
dijangkakan kerana beras merupakan makanan ruji utama rakyat negara
ini.
"Bernas memang sasaran pengambilalihan mana-mana individu yang sangat kaya.
“Apabila diambil kira keuntungan yang sihat, monopoli Bernas ke atas
lesen AP import beras dan realiti bahawa beras adalah makanan ruji
rakyat Malaysia, individu yang sangat kaya pasti mengidamkan syarikat
sebegini," katanya.
Sehingga 2012, Bernas memperoleh keuntungan sebanyak RM3.6 bilion dan
dijangka meningkat hingga RM3.9 bilion pada 2015, menurut ramalan hasil
yang dijalankan oleh Maybank Research.
Anwar mendakwa, Syed Mokhtar seorang yang tamak sebaik sahaja kerajaan
memanjangkan mandat Bernas merangkumi pengurusan bekalan beras negara
dan monopoli pengimportan beras dari 11 Januari 2011 hingga 10 Januari
2021.
"Beliau (Syed Mokhtar) semakin tamak.
"Tawaran pembelian Bernas pada RM 3.70/saham dibuat pada penghujung
Februari 2013 melalui syarikat-syarikat lain miliknya iaitu Perspective
Lane (M) Sdn Bhd, Kelana Ventures Sdn Bhd, Seaport Terminal (Johore) Sdn
Bhd dan Acara Kreatif Sdn Bhd," katanya.
Anwar kemudian mengecam Syed Mokhtar sebagai seorang "oportunis" kerana
langkah pengambilalihan tersebut bertujuan menguntungkan dirinya
sahaja.
"Kami kecam pengambilalihan baru-baru ini yang bersifat oportunis oleh
Syed Mokhtar sebagai satu langkah mengambil alih sepenuhnya Bernas pada
ketika monopoli Bernas ke atas pengimportan beras dilanjutkan hingga
2021 kerana tindakan ini akan menguntungkan satu individu tertentu,
iaitu Syed Mokhtar sendiri,” katanya.. - 12 November, 2013.
TheMalaysiaInsider