SHAH ALAM 13 NOV : Tindakan mengedar ‘surat layang’ menggunakan nama
Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kerajaan Selangor yang dianggotai Ahli
Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR, PAS dan DAP, perbuatan tidak
bertanggungjawab.
Setiausaha
Majlis Pimpinan PKR Selangor, Amirudin Shari, berkata Pakatan Rakyat
(PR) Selangor menafi menandatangani mana-mana surat atau kenyataan
menyatakan perasaan marah dan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau berkata, perbincangan antara wakil Adun PR bersama Menteri
Besar memang ada berlangsung tetapi ia dilakukan dalam keadaan baik dan
tidak beremosi.
“Sejak dahulu, BBC sentiasa berusaha membawa isu atau masalah untuk
diambil perhatian dan tindakan oleh Kerajaan Negeri dan Menteri Besar,
sepertimana yang dinyatakan dalam setengah bahagian isi kandungan surat.
“Bagaimanapun, saya tidak pasti asal usul surat itu ditulis serta apa
tujuannya diedar sebagai surat layang,” kata Amirudin ketika dihubungi
Selangor Kini, hari ini.
Beliau diminta mengulas isu pengedaran surat layang yang berlegar
dalam aplikasi ‘WhatsApp’ telefon pintar kononnya Abdul Khalid berdepan
kemarahan Adun PR.
Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Lau Weng San,
tidak menolak kemungkinan surat berkenaan ditulis bagi memecah belah
perpaduan di kalangan kepimpinan negeri.
“DAP tidak pernah mengeluarkan atau merestui penulisan surat
berkenaan dan jelas ia dibuat di luar pengetahuan DAP Selangor,” kata
Weng San dalam balasan ‘WhatsApp’nya kepada
Selangor Kini.
Pesuruhjaya
PAS Selangor, Dr. Abdul Rani Osman pula, berkata PR sentiasa
menggunakan pendekatan perbincangan dua hala dalam membawa cadangan
atau penambahbaikan dalam pelbagai isu.
“Sama ada kita duduk berbincang
mengenai cadangan atau kita hantar surat secara berhemah ke pejabat
Menteri Besar. Tiada langsung surat layang diedar melalui internet dan
sebagainya,” katanya.
Isi kandungan surat yang ‘ditandatangani’ oleh ‘Adun PKR, DAP dan
PAS’ itu menyatakan kekecewaan kerana kononnya tiada perubahan dalam
isu yang dibangkitkan Adun PR kepada Abdul Khalid.
-EZY FZL
Selangorku