Harga hartanah di Kuala Lumpur yang melambung mendorong DBKL menaikkan cukai pintu berlipat kali ganda. Gambar fail.
Tanya
Robert Quah mengenai cadangan kenaikan 100% cukai pintu bagi pemilik
rumah di Kuala Lumpur dan ini akan menaikkan kemarahannya.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seputeh itu percaya kenaikan itu
akan menjadi punca kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam
pilihan raya umum akan datang, yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada
2018.
Beliau tidak berseorangan. Wakil persatuan penduduk lain turut marah
dengan kenaikan cukai pintu yang diumumkan oleh Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL) melalui notis diterima sejak minggu lalu.
Kenaikan cukai pintu di Kuala Lumpur terakhir adalah 21 tahun lalu.
Menurut satu laporan dalam The Star tahun lalu, jumlah hartanah yang
menjadi penempatan di Kuala Lumpur berjumlah 1.77 juta unit.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
semalam mempertahankan kenaikan cukai pintu dengan berkata, harga
hartanah di Kuala Lumpur juga sudah melambung tinggi.
“Jika sebuah rumah dahulunya berharga RM80,000 dan kini berharga
RM700,000, tetapi harga cukai pintu masih lagi rendah, apa yang
seharusnya kita lakukan,” katanya di Parlimen semalam.
Quah tidak dapat diyakinkan dengan alasan Tengku Adnan.
“Kenaikan adalah melampau,” katanya dan menambah bagi rumah teres di
Taman Seputeh, harga cukai pintu meningkat daripada RM9,000 kepada
RM18,000. Di Kepong, sesetengah pemilik rumah kos rendah mengatakan
kenaikan sebanyak 267%.
“DBKL hantar surat kepada kami mengatakan kami mempunyai 12 hari untuk bantah,” katanya.
Wakil persatuan penduduk yang lantang itu tidak berhenti setakat itu,
beliau mempersoalkan mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
senyap tentang kenaikan kos kehidupan yang membebankan golongan kelas
menengah.
“PM terlalu senyap sedangkan beliaulah di belakang semua ini,” kata
Quah dan menambah ini boleh menyebabkan rakyat berdemonstrasi di jalan
raya jika kerajaan tidak bertindak untuk menghentikan kekejaman ini.
Katanya, lebih menyakitkan hati adalah alasan yang diberikan untuk kenaikan itu.
Quah berkata, apabila penduduk Taman Seputeh pergi ke DBKL untuk
mendapatkan penjelasan tentang bagaimana kadar baru cukai pintu dikira,
beliau diberitahu “kenaikan sudah tidak dilakukan selama
bertahun-tahun.”
“Ini adalah penjelasan mereka. Dari mana mereka boleh dapat duit lagi,” katanya.
Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya, Datuk Mumtaz Ali juga
mempersoalkan mengapa DBKL menaikkan kadar cukai pintu tanpa berbincang
dengan penduduk terlebih dahulu.
“Mengapa mereka menolak slogan PM agar ‘rakyat didahulukan’?
“Mereka tidak pernah berbincang dengan kami. Apa yang kami ingin tahu
ialah adakah mereka sudah memperbaiki perkhidmatan mereka,” katanya.
Katanya, penduduk Bukit Bandaraya menderita apabila lebih banyak
kelulusan diberikan kepada aktiviti komersial di kawasan mereka, dan
pihak berkuasa tempatan mengatakan ia akan menambah nilai kepada kawasan
kejiranan itu.
Setiausaha Persatuan Penduduk Bangsar Baru, Prem Kumar Nair, berkata
kenaikan cukai pintu ini tidak akan menggembirakan penduduk apatah lagi
baru-baru ini kerajaan mengumumkan pengenalan cukai barangan dan
perkidmatan (GST), penghapusan subsidi gula dan pemotongan subsidi
minyak.
“Kerajaan mesti terlebih dahulu menyelesaikan isu ketirisan dan
mengambil langkah penjimatan kerana kami tahu agensi kerajaan membayar
dengan harga lebih tinggi kepada pembekal.
“DBKL mempunyai banyak wang dalam simpanan mereka. Jadi mereka harus
menyelesaikan isu pembaziran dan ketirisan berbanding meminta kami bayar
labih,” katanya.
Setiausaha Persatuan Penduduk Desa Aman, Koh Guan Swee, berkata rakyat
dibebankan dengan kenaikan kos dan ini bukanlah masa sesuai untuk
menaikkan cukai kerana gaji orang ramai masih berada di tahap sama.
“Ini bukan masa sesuai untuk menaikkan harga semua benda sehingga
kerajaan berjumpa dengan cara untuk memperbaiki pendapatan golongan
kelas menengah dan golongan kelas menengah bawah yang menderita dengan
kenaikan kos kehidupan,” katanya.
Koh berkata, graduan yang baru mendapat kerja hanya menerima gaji
sekitar RM2,000 sebulan dan ini tidak cukup untuk hidup di Kuala Lumpur
tanpa bantuan ibu bapa mereka - turut terseksa untuk membayar pelbagai
bil.
Beliau juga menyelar DBKL kerana mahu meningkatkan kadar cukai dan pada masa sama perkhidmatan mereka tidak pernah diperbaiki.
Prem berkata: “Bolehkah mereka mewajarkan bahawa mereka sudah melakukan
sebaiknya untuk menyelesaikan masalah kesesakan di ibu kota dan cuba
untuk menurunkan kadar jenayah?
“Apakah mereka sudah membina lebih banyak laluan pejalan kaki agar orang ramai selamat daripada peragut,” katanya.
Quah bagaimanapun menambah kenaikan kadar cukai pintu baru itu tidak akan boleh diwajarkan.
“Jika kenaikan 5 hingga 10%, ia wajar, tetapi mereka menaikkan lebih daripada 1005,” katanya.
“Ini seperti ditikam daripada belakang,” katanya dan menambah beliau
sudah menubuhkan jawatankuasa yang akan mengeluarkan surat bantahan
kepada DBKL.
Mumtaz berkata, kebanyakan pemilik rumah di Bangsar berada di
penghujung usia dan mereka sudah pasti tidak mampu untuk membayar kadar
cukai tinggi.
Mereka juga menuntut DBKL berbincang dengan penduduk terlebih dahulu
berbanding memaksakan kadar cukai baru kepada pemilik rumah.
Ahli Parlimen Kuala Lumpur bagaimanapun berkata, kenaikan cukai pintu
ini akan memberikan kesan “domino” yang akan menjejaskan kebanyakan
pemilik rumah dan penyewa.
Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, berkata: “Sudah tentu pemilik rumah
akan menaikkan harga sewa dan ini akan membebankan penyewa.”
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mencabar Datuk Bandar
Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib menyelesaikan masalah itu
dengan membandingkan perkhidmatannya dengan bekas Datuk Bandar Tan Sri
Ahmad Fuad Ismail.
“Beliau (Ahmad Fuad) sentiasa berjaya menaikkan keuntungan DBKL tanpa
perlu menaikkan cukai pintu,” katanya. – 14 November, 2013.
TheMalaysiaInsider