PADA
11 Februari 2011, Hosni Mubarak meletakkan jawatannya sebagai Presiden
Mesir selepas 18 hari rakyat menunjuk perasaan menentang 30 tahun
pemerintahannya. Semasa kejatuhan beliau, rakyat dan tentera berpimpinan
tangan melaungkan slogan ‘rakyat dan tentera seiring bersama’.
Pada 25 Jun 2012, Morsi dipilih sebagai Presiden Mesir untuk menjaga kehidupan 84 juta rakyatnya. Rakyat dan tentera juga
bergembira kerana mengharapkan satu perubahan baru berlaku di negara
itu. Morsi dibanggakan sebagai seorang Hafiz dan mempunyai daya
intelektual yang tinggi. Wataknya dan ilmunya digambarkan cukup sesuai
untuk menggantikan kezaliman rejim Hosni Mobarak. Maka, rakyat Mesir
gembira dengan pemimpin barunya ini, namun kegembiraan itu tidak lama.
Pada 3 Jun 2013, 7 petang waktu Mesir, pemimpin tentera, Andel Fattah
al-Sisi telah mengisytiharkan penyingkiran Morsi, menggantungkan
perlembangaan dan melantik Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung, Adly
Mansour, sebagai ketua kerajaan sementara. Saya sedih dengan kejatuhan
kerajaan Morsi dan Ihwanul Muslimim ini. Kesedihan ini bertambah lagi
apabila mengenangkan nasib pemimpin utamanya sebelum ini yang dihukum
gantung seperti Hassan Albanna, Syed Khutub dan lainnya.
Kembali kepada rampasan kuasa di Mesir, Abdel Fattah semasa mengarahkan
tentera mengambil alih kerajaan Morsi berkata beliau terpaksa mengambil
tindakan sedemikian kerana Morsi semasa pemerintahannya hanya menjaga
kebajikan orang Islam dan Ikhwanul Muslimin sahaja, tanpa mempedulikan
kebajikan rakyat sekular dan lainnya. Fatteh menafikan tindakan beliau
adalah rampasan kuasa, sebaliknya menyatakan tindakan tentera adalah
untuk menegakkan kembali demokrasi. Dakwaan Fatteh itu salah kerana
dalam apa keadaan sekalipun, campur tangan tentera adalah rampasan
kuasa.
Di pihak rakyat pula, mereka terlibat dalam demonstrasi
itu kerana hidup dalam keadan yang cukup resah. Mereka mengharapkan
‘revolusi’ membawa kesejahteraan hidup, tetapi apa yang mereka perolehi
dari kerajaan Morsi adalah impian revolusi yang kosong: kos hidup, kadar
pengangguran dan kadar inflasi yang tinggi, bekalan letrik yang selalu
terputus dan harga minyak yang meningkat. Itulah kegagalan Morsi yang
diambil kesempatan oleh pihak sekular untuk menjatuhkannya dengan
mendapatkan bantuan dari luar. Bantuan itu adalah dari Israel, AS dan
juga kaum Yahudi yang merata di bumi ini. Mereka ini mahu melihat
kejatuhan kerajaan Islam pimpinan Morsi yang cukup menakutkan mereka.
Mereka takut kepada Morsi kerana semasa berlaku kebangkitan Palestin
dua tahun yang lalu, Morsilah yang membuka semula sempadan Gaza yang
ditutup semasa pemerintahan Hosni Mubarak. Tujuan Morsi adalah untuk
memberi laluan kepada rakyat Palestin berhubung dengan dunia luar supaya
mereka tidak terkurung di bumi sendiri. Morsi juga bertindak menutup
hubungan diplomatik dengan Syria dan merapatkan hubungan dengan Turki
yang juga Islamis. Hubungan Morsi yang baik dengan Racip Tayep Erdogan,
Perdana Menteri Turki yang juga Islamis ini cukup membimbangkan Barat
dan Yahudi.
Oleh sebab itulah, apabila Morsi jatuh, Asad di
Syria gembira, raja Arab Saudi gembira dan beberapa negara Islam lainnya
yang autokratik juga turut gembira. Mereka gembira sepertimana Israel,
AS dan Yahudi. Hanya negara Turki secara jelas mengutuk tindakan tentera
ini. Negara-negara demokratik Eropah lainnya sekadar menyatakan tidak
setuju dengan campur tangan tentera, tetapi tidak pun menggunakan
istilah rampasan kuasa tentera. Begitulah!
Apa pengajaran dari
kisah di atas? Satu yang pasti ialah jangan percaya demokrasi cara
Amerika dan negara Barat lainnya. AS, Yahudi dan musuh-musuh Islam hanya
bercakap tentang demokrasi, tetapi mereka sendiri tidak mahu menerima
keputusan rakyat melalui demokrasi, malah mereka mengkhianatinya. Oleh
sebab itulah, kita tidak boleh biarkan dalam apa keadaan sekalipun,
unsur luar memasuki kancah politik negara kita kerana demokrasi dari
luar selalu menghancurkan, bukan sahaja dalam kes di Mesir, tetapi juga
di negara-negara yang dijanjikan oleh Barat seperti Afghanistan dan
Iraq—demokrasi di dua negara itu mati sehingga sekarang dengan puluhan
rakyat terbunuh setiap bulan. Sejarah juga menunjukkan negara Barat
hanya menutup mata apabila demokrasi dicabul setelah FIS menang di
Algeria, Hamas menang di Palestin dan terkini Ikhwan di Mesir.
Apa yang merisaukan saya dengan tragedi di Mesir ini? Banyak
kerisauannya. Antaranya, saya bimbang rakyat Mesir juga akan menerima
nasib yang sama seperti rakyat Palestin atas pilihan dan kerakusan
mereka sendiri menggulingkan kerajaan Ikhwanul Muslimin. Saya risau
tentang keselamatan rakyat Palestin setelah Gaza ditutup. Saya bimbang
jika berlaku perang saudara di Mesir dan yang berperang ialah Islam vs
Islam. Saya bimbang jika rampasan kuasa ini memberi semangat kepada
tentera di negara lain untuk melakukan kudeta ke atas kerajaan sah yang
dipilih rakyat secara demokratik.
Dengan kerisauan di atas,
marilah kita belajar dari tragedi ini. Banyak iktibar yang boleh kita
ambil. Pertama, kerajaan jangan mendiskriminasikan rakyat dari segi
kehidupan kerana ini boleh menimbulkan kekecewaan dan kemarahan. Kedua,
kerajaan perlu bijak mengurus perbezaan pandangan dan jangan terlalu
beremosi dalam berpolitik. Ketiga, kerajaan perlu cekap dan adil dalam
mengurus pengagihan ekonomi negara supaya tidak ada segmen masyarakat
yang berasa terpinggir. Keempat, kerajaan tidak boleh membiarkan perut
rakyat kosong kerana ini akan mengundang demonstrasi. Dan kelima, paling
penting, apapun pendirian kita dalam politik, jangan mengundang campur
tangan luar.
Semoga Malaysia sentiasa dalam keadaan aman dan
damai. Belajar dari pengalaman negara ini dan jangan bergaduh hanya
kerana bertuhankan parti. Fikir dulu sebelum bertindak, bukan untuk lima
tahun tetapi untuk selamanya...
- Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff
Penganalisis Politik, Pensyarah UKM
Nak beli domain dan nak buat website? boleh cuba link yang di beri...
-
Nak beli domain mudah dan servis terbaik....
* https://secure.gbnetwork.com/aff.php?aff=778 *
klik banner yang kami beri ini...
*Testimoni klik s...
3 tahun yang lalu