AKU memberikan sepenuh tabik hormat aku kepada seluruh komrad anak muda
yang bersama-sama rakyat Malaysia berarak dari Ibu Kota menuju ke Padang
Merbok, KL pada 22 Jun baru-baru ini. Aku tidak berminat untuk
mendengar ceramah di Padang Merbok pada petang tersebut, tetapi aku
merasakan sesi perarakan seluruh rakyat dari beberapa check point di Ibu
Kota amat memuaskan hati.
Seterusnya aku lebih berbangga apabila sekumpulan anak-anak muda yang
majoritinya dari Komrad SAMM terus berkampung di Padang Merbok untuk
menanti hari angkat Sumpah MP di Parlimen pada 24 Jun. Aku tidak dapat
bersama mereka tetapi saban waktu aku mendoakan keselamatan buat
kesemuanya.
Pada 24 Jun, mereka berarak menuju ke Parlimen untuk mendesak Pengerusi
SPR dan Timbalannya meletakkan jawatan. Di sini, bermulalah apa yang
aku katakan bahawa niat baik, objektif yang baik dan perlaksanaan yang
tersusun mula dirobek oleh beberapa orang yang mahu digelar hero. Aku
mendapat berita dari rakan yang berada di sana yang mula balik awal
kerana tidak tahan telinga mendengar beberapa suara sumbang memaki hamun
YB Khalid Samad, MP dari Shah Alam.
Aku tidak rasa suara itu datangnya dari budak-budak SAMM kerana aku tahu
Chegu Bard tidak akan mendidik anak-anak buahnya berkelakuan seperti
budak bodoh. Chegu Bard telah lama mengajar dan menunjukkan contoh
bahawa anak muda bukan sahaja mesti berani tetapi juga mesti bijak.
Berani tetapi bodoh tidak membantu perjuangan anak muda. Memaki hamun
MP di Parlimen yang selama ini kita sokong perjuangan mereka bukan kerja
orang bijak. Jika setakat datang ke Parlimen untuk memaki hamun MP
dari Pakatan Rakyat, tidak perlu sedekah tubuh untuk ditangkap, memadai
serah kepada pencacai Umno atau Perkasa sahaja buat kerja bodoh itu.
Apakah kita marah mereka angkat sumpah? Kononnya hipokrit, kita dakwa
SPR tipu tetapi MP kita angkat sumpah? Jika begitu, alangkah baiknya
kita tidak perlu memasuki PRU 13 baru-baru ini kerana bukan sekarang
kita tahu sistem Pilihanraya di negara kita ini tidak pernah adil.
Mengapa kita masuk juga PRU? Chegu Bard pun masuk bertanding, adakah
Chegu Bard tidak tahu SPR tidak pernah bertindak adil semenjak dahulu?
Mengapa Chegu Bard masuk bertanding? Jawapannya sudah pasti sama dengan
jawapan MP-MP yang mengangkat sumpah itu.
Sebab itu aku yakin dan percaya budak-budak SAMM tidak sebodoh itu untuk
memaki hamun MP-MP yang mengangkat sumpah. Jika ada pun, sudah tentu
mereka hanya mengaku budak-budak SAMM untuk mencemarkan atau memalukan
Chegu Bard.
Ada yang persoalkan mengapa DS Anwar kelihatan berbaik dengan Najib di
Parlimen sedangkan di luar rakyat bangkit membantah SPR? Apakah mereka
mahu DS Anwar bermasam muka dengan Najib? Atau DS Anwar perlu sepak
terajang Najib di dalam Parlimen? Kita jangan hipokrit. DS Anwar bukan
tidak tahu atau kenal Najib, tetapi di dalam situasi mana DS Anwar
perlu bertindak dan berdepan dengan Najib. Menunjukkan muka senyum atau
makan semeja bukan bermakna DS Anwar jual prinsip perjuangan beliau
selama ini. Seperti juga Komrad SAMM yang sepanjang perarakan dari
Petaling Street ke Padang Merbok, mereka tidak putus-putus menyanyikan
lagu " Polis Baik...Polis Baik...Polis Baik Negara Aman...". Adakah
kita mahu sebut semua Polis adalah baik? Semenjak bila SAMM iktiraf
Polis kita amat baik kepada rakyat? Bukankah muka Chegu Bard pernah
pecah sewaktu BERSIH 3? Siapa punya angkara? Mengapa SAMM nyanyikan
lagu "Polis Baik"?
Jawapannya, sama juga dengan jawapan mengapa DS Anwar kelihatan berbaik
dengan Najib. Apakah kita tidak boileh berfikir secara matang? Apakah
kita rasa perjuangan kita sahaja yang betul dan kita marah kepada orang
lain yang tidak mengikut perjuangan kita? Bagi aku, anak-anak muda ada
caranya mereka berjuang. Wakil-Wakil Rakyat juga berjuang dengan cara
mereka. Suara anak muda mesti dibawa ke dalam Parlimen. Para peguam
kita pula berjuang di mahkamah melalui undang-undang. Bloggers dan
facebookers juga mesti berjuang di alam maya. Tentulah lebih berkesan
jika rejim ditekan dan diserang dari semua sudut?
Aku puji anak-anak muda yang komited dan fokus untuk turunkan SPR
sepertimana yang diusahakan oleh anak-anak buah Chegu Bard. Tapi aku
sedikit pun tidak respek anak muda yang turun hanya untuk menunjukkan
mereka hero dengan memaki hamun pimpinan PR.
Apapun tahniah kepada mereka yang terus fokus kepada perjuangan.
Tahniah juga kepada MP-MP yang terus memberikan sokongan moral kepada
anak-anak muda ini. Pada aku Komrad SAMM telah mencapai objektifnya
walaupun terdapat seorang dua entah dari mana datangnya telah bertindak
di luar kawalan mereka.
http://wfauzdin.blogspot.com