KUALA LUMPUR, 13 JUN: Perhimpunan #Blackout505 tetap akan diadakan di
Padang Merbok di sini walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
tidak ingin bekerjasama dengan penganjurnya, kata MP Pandan Rafizi
Ramli.
Rafizi berkata alternatif yang ditawarkan oleh DBKL, Stadium Merdeka,
tidak sesuai untuk himpunan tersebut kerana ruangnya yang terhad.
Keputusan menolak tawaran ke Stadium Merdeka itu juga diambil setelah
PR menimbangkan faktor keselamatan berikutan saiz himpunan yang tidak
sesuai untuk kawasan tertutup.
Pada 12 Januari lalu, Stadium Merdeka gagal menampung kebanjiran lebih 100,000 perserta Perhimpunan Kebangkitan Rakyat 112.
Keadaan sesak dan terbatas di stadium itu menyebabkan lebih separuh dari peserta gagal memasuki stadium.
Rafizi juga mendakwa alasan yang diberikan oleh DBKl untuk menolak permitaan penganjur himpunan tersebut sengaja diadakan.
“Pertama, Padang Merbok digunakan untuk aktiviti sukan ringan dan
aktiviti sosial, kalau nak kira perhimpunan kita juga adalah satu
aktiviti sosial.
“Kedua – lanskap, ketiga – sedang diusahakan untuk laluan basikal dan
keempat – lalu lintas,” kata Rafizi selepas menghadiri mesyuarat
bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib di menara
DBKL pagi tadi.
Rafizi turut melahirkan rasa kecewa atas kegagalan DBKL untuk lebih
bertolenrasi dengan PR memandangkan sebelum ini gagasan itu akur dengan
kehendak DBKL agar tidak menggunakan Dataran Merdeka dan menukar tarikh
perhimpunan dari 15 Jun ke 22 Jun.
Selain Rafizi dan Ahmad Phesal, turut sama menyertai mesyuarat yang
berlangsung kira-kira 45 minit itu, MP Sungai Petani, Datuk Johari
Abdul, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ASP Zainuddin Ahmad, MP Bukit
Bintang Fong Kui Lun dan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia,
Badrul Hisham Shaharin.
Selangorku.