SHAH ALAM, 8 JUN : Perhimpunan Aman #Blackout505 yang sebelum ini
dirancang pada 15 Jun di Padang Merbok, Kuala Lumpur, mungkin ditunda ke
hari Sabtu minggu berikutnya.
Bagaimanapun, keputusan menunda tarikh perhimpunan itu tertakluk
kepada kesanggupan pemilik Padang Merbok, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) memberikan kebenaran menggunakan lokasi itu pada 22 Jun nanti.
Menurut Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham
Shaharin, keengganan DBKL berbuat demikian bakal menyebabkan rakyat
tidak mempunyai pilihan lain selain turun ke Dataran Merdeka pada 15 Jun
nanti.
“Kita akur penganjur kitar semula telah mengambil padang tersebut
sebagai venue pada pagi hari sama. Namun kita sedang mengadakan
perbincangan lanjut dengan DBKL dan pihak penganjur larian itu.
“Kita tidak menolak kemungkinan untuk menerima cadangan yang
diberikan pihak berkuasa untuk pergi ke satu tarikh, minggu lagi satu
(22 Jun) yang juga agak praktikal kerana rapat dengan tarikh angkat
sumpah Ahli Parlimen.
“Katakanlah kita dah cukup berunding, tetapi sekiranya kamu masih
bermain, tidak mahu beri gunakan Padang Merbok, kami minta maaf kalau
rakyat mengadakan protes dengan lebih besar lagi di Dataran Merdeka,”
kata Badrul Hisham ketika dihubungi TV Selangor.
Pada masa ini perbincangan antara seketariat penganjur Perhimpunan
#Blackout505 bersama pihak berkuasa dan DBKL masih lagi dijalankan.
Badrul Hisham juga yakin keputusan menundakan perhimpunan
#Blackout505 ke 22 Jun mampu memberi impak sambutan lebih besar kerana
hampir dengan sessi pertama Dewan Rakyat pada 24 Jun nanti.
“Saya yakin, pada Isnin nanti seketariat penganjur akan membuat
pengumuman rasmi berhubung tarikh sebenar perhimpunan ini,” kata Badrul
Hisham lagi.
Sebelum ini seketariat penganjur bersetuju menukar rancangan asal
mereka mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka ke Padang Merbok
seperti yang disarankan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, selepas itu, seketeriat penganjur #Blackout505
dimaklumkan bahawa larian kitar semula telah terlebih dahulu padang
tersebut.
Keadaan tersebut menyebabkan seketariat penganjur #Blackout505
terpaksa mempertimbangkan semula rancangan mereka untuk mengadakan
perhimpunan pada 15 Jun nanti.
Selangorku