KETEREH, 13 JUN: Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata,
kebangkitan anak muda dalam siri-siri himpunan ‘Black 505′ adalah simbol
bantahan rakyat yang menakutkan Umno-BN.
“Kebangkitan anak muda telah merubah, telah memberi satu keadaan yang
menakutkan Umno-BN,” katanya di hadapan lebih 15,000 hadirin di
himpunan ‘Black 505′ Kelantan di Padang Majlis Daerah Ketereh, semalam.
Katanya, golongan muda yang sentiasa peka dengan perkembangan semasa
tidak mudah ditipu sekaligus berperanan sebagai ejen penyebaran
maklumat.
Malah, dalam banyak laporan penyelewengan dan salah laku pilihan raya
umum ke-13, golongan muda paling ke hadapan dan berani membuat
pendedahan.
NGO ‘R’ atau Royalti merupakan penggerak utama kempen ‘Black 505′ di Kelantan dan seluruh negara
“Kebangkitan ini memberi satu amaran kepada sesiapa yang berkuasa
bahawa penipuan adalah sesuatu yang tidak disukai oleh sesiapa pun,”
kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pekan itu.
Dalam pada itu, Ahmad menyangkal dakwaan Umno-BN yang menuduh
himpunan anjuran Pakatan Rakyat sebagai radikal dan tidak menggambarkan
citra kehidupan umat Islam.
“Islam adalah agama untuk kita berkumpul. Kita hadir di padang
Arafah, kita berkumpul hari raya dua kali setahun, kita berkumpul.
“Solat Jumaat sekali seminggu dan kita berkumpul solat jemaah lima kali sehari, ini syiar dalam Islam, ini cara Islam.
“Cara kita nyatakan perasaan bila ditipu dan tidak diberi keadilan,
kita lahirkan rasa tidak puas hati kita kepada ketidakadilan itu,”
katanya.
KeadilanDaily