KUALA LUMPUR, 12 Jun – Perhimpunan #Black505 Pakatan Rakyat (PR) akan
terus diadakan di Padang Merbok di sini pada 22 Jun walaupun Majlis
Olimpik Malaysia (MOM) mengatakan semalam mereka akan menggunakan lokasi
itu untuk larian mereka, kata Rafizi Ramli dari PKR hari ini.
Pengarah strategi PKR itu juga mengatakan Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL) telah memberitahu PR bahawa Padang Merbok hanya ditempah
dari 6.00 petang ke atas pada 22 Jun, bercanggah dengan kenyataan MOM
semalam persediaan logistik untuk larian olimpik McDonald 23 Jun akan
bermula pada 21 Jun.
“Pada mulanya DBKL beritahu kita hanya boleh tempah sehingga 6.00
petang oleh kerana selepas itu, acara lain akan diadakan di Padang
Merbok pada keesokkan hari,” kata Rafizi kepada The Malaysian Insider
hari ini.
“Kita boleh duduk dengan Majlis Olimpik untuk berbincang apa jenis
susunan perlu untuk membolehkan kedua-dua program berjalan lancar,”
katanya.
Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi mengatakan semalam
persiapan untuk Larian Olimpik di tengah bandar akan bermula pada 21 Jun
selepas 3.00 petang dan 22 Jun selepas 6.00 petang.
Beliau berkata pelari akan melalui Padang Merbok, walaupun larian akan bermula dari Dataran Merdeka di sini pada 23 Jun.
Sieh berkata Larian Olimpik – yang diadakan setiap tahun pada 23 Jun
sejak tahun 1994 dalam sambutan Hari Olimpik – akan melibatkan 15,000
pelari dan tempat telah ditempah semenjak akhir tahun lepas.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib menggesa PR pada
Isnin untuk memilih satu lagi tempat untuk perhimpunan, sebaik-baiknya
kawasan tertutup seperti stadium, mendakwa padang akan digunakan untuk
“persiapan logistik” MOM pada 23 Jun.
Datuk bandar itu juga berkata mengadakan perhimpunan di tempat
terbuka, tempat orang ramai akan menimbulkan gangguan trafik di jalan
raya di sepanjang Jalan Parlimen, Jalan Kuching, Jalan Sultan
Hishamuddin, Jalan Raja Laut, Jalan Raja dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.
PR telah mengadakan perhimpunan besar-besaran #Black505 di seluruh
negara semenjak 8 Mei untuk memperotes dakwaan penipuan dalam Pilihan
Raya 2013 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa
walaupun kehilangan undi popular.
TheMalaysiaInsider