Khalid bercakap kepada media selepas menerima memo daripada anak muda Black 505.
KUALA LUMPUR: Kehadiran Ahli Parlimen Shah Alam,
Khalid Samad akhirnya meredakan suasana tegang antara pihak polis dengan
anak muda Black 505 yang mengadakan protes di hadapan parlimen seawal
jam 9 pagi tadi.
Khalid Samad yang mucul kira-kira jam 11.50 pagi
selepas mengangkat sumpah ahli Dewan Rakyat untuk menenangkan peserta
himpunan dengan menerima memorandum daripada kumpulan terbabit.
Sewaktu
menerima memorandum itu, Khalid berjanji akan menyerahkan memorandum
tersebut kepada pihak berkenaan dan akan membangkitkan perkara itu di
dalam persidangan Dewan Rakyat yang bermula esok.
"Ini merupakan
tuntutan bahawa rakyat yang sepatutnya memilih, dan saya berterima
kasih kepada aktivis yang hadir menyatakan bantahan agar pimpinan SPR
letak jawatan," katanya kepada lebih 150 anak muda yang berkumpul di
hadapan bangunan Parlimen.
Beliau turut memaklumkan kepada
barisan peguam Pakatan Rakyat berhubung penangkapan anak-anak muda yang
masing-masing di bawa ke balai polis di Jinjang dan Dang Wangi.
Malah
beliau yang juga AJK PAS Pusat turut meminta pihak polis jangan
mengapa-apakan aktivis terbabit ketika dalam jagaan mereka itu nanti.
"Matlamat
himpunan hari ini telah selesai dengan penerimaan memorandum daripada
Gabungan NGO yang membantah SPR," katanya yang meminta para aktivis
untuk bersurai.
Sebelum itu, kumpulan berkenaan mengadakan protes
dengan berbaring di atas jalan utama masuk ke Parlimen sejak jam 10
pagi, keadaan bertukar menjadi tegang sejam kemudian apabila kumpulan
tersebut cuba melepasi benteng polis seramai 300 orang di jalan utama
masuk ke Parlimen.
Bagaimanapun kumpulan anak muda tidak berjaya
melepasi sekatan polis, keadaan menjadi tidak terkawal apabila polis
menahan tiga aktivis mereka iaitu Mohd Safwan Anang, Akram Ahmar dan
Ehsan Bukhari kira-kira jam 11.10 pagi.
Keadaan bertambah kecoh
lagi apabila pihak polis yang terus mengejar dan menangkap beberapa lagi
aktivis anak muda menyebabkan ada yang lari bertempiaran.
Susulan
itu, sebilangan lagi peserta perhimpunan bertindak menyerah diri kepada
polis sebagai tanda solidariti, termasuk pengerusi SAMM Badrul Hisham
Shaharin dan aktivis siswa Adam Adli.
HarakahDaily