Cari Tajuk Yang Di Cari

Khamis, 24 Julai 2014

Dakwah di facebook dorong Chee Thor peluk Islam


KUALA LUMPUR: Ketika facebook mula diragui ramai, sesetengah pula melabelnya sebagai agenda musuh Islam, Soh Chee Thor sebaliknya mula mendekati Islam melalui medium itu, lapor Selangor Kini.

Betapa tidak, beliau kerap berkongsi kata-kata hikmah yang dipetiknya dari pelbagai halaman facebook (fanpage) termasuk sebahagian halaman dakwah Islam.

Beliau kerap berbuat demikian ketika berasa 'kehilangan' atau 'teraba-raba' di saat mendepani rintangan kehidupan yang pelbagai.

Sejak itu, Chee Thor berasa tenang berbuat demikian – berkongsi rasa dan pengetahuan serta amalan kebaikan bersama insan lain tanpa mengira kaum atau agama.

Kekerapan itu menyebabkan sebahagian kenalan di facebook menyangka beliau seorang muslim.

Hakikatnya, beliau pernah menganut dua agama berbeza sedari kecil hingga dewasa sebelum menganggap dirinya sebagai mirip kepada 'free thinker'.

Selain itu, keberadaan ramai kenalan Islam ketika saat susah dan senang, mendorong Chee Thor yang mengajar di sebuah sekolah di Klang, menyenangi agama itu.

“Tak sampai tengok awak masuk neraka (kerana bukan Islam). Awak orang baik-baik.”

Kata-kata dari beberapa rakannya meresap dan begitu terkesan di hati ibu tunggal yang memiliki dua anak itu.

Hati Chee Thor mula berdetik untuk menganut Islam tetapi beliau memberi ruang pada diri sendiri untuk menghayati, belajar perihal Islam kerana tidak mahu terburu-buru keputusan.

Perlahan-lahan beliau juga mula melakukan rutin ibadat Islam sekalipun belum melafaz syahadah termasuk berpuasa pada Ramadan sejak empat tahun lalu.

Malah, beliau berpuasa penuh tahun lalu dan menyertai solat Tarawih beberapa kali.

“Tak susah pun berpuasa,” katanya sambil tersenyum apabila ditanya saat-saat melalui pengalaman itu.

Selain itu, beliau memiliki rakan mualaf yang kini menetap di Johor untuk dijadi rujukan sekaligus menguatkan tekadnya untuk menjadi seorang muslim.

“Dia juga pernah mendoakan saya untuk masuk Islam ketika mengerjakan ibadah haji di Mekah. Barangkali berkat doanya, akhirnya saya menganut Islam,” katanya.

Chee Thor, 47, melafaz kalimah syahadah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dengan menggunakan nama Zuyyin Alisha.

Kini, Alisha sudah hafaz bacaan al-Fatihah kecuali beberapa sebutan yang kurang tepat, selain wuduk dan solat selepas bersungguh-sungguh mempelajari ibadah Islam.

Beliau bernekad untuk mendalami Islam sebaik-baiknya dengan mengikuti kelas Iqra anjuran Abim Outreach yang bertanggungjawab membawanya kepada agama itu.

Harakah Daily

Isnin, 14 Julai 2014

BERITA PANAS!! Sabah diceroboh lagi, polis dilaporkan mati

 

Kejadian tembak-menembak maut dilaporkan di Semporna semalam, tatkala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kota Kinabalu melawat negeri itu.

Menurut sumber di Sabah pagi ini, seorang anggota polis marin dilaporkan terbunuh dan seorang lagi dipercayai diculik.

Lapan lelaki bersenjata dan berpakaian tentera, dipercayai dari Filipina dilaporkan mendarat di Pulau Mabul, di perairan Semporna kira-kira jam 11.30 malam semalam.

Menurut sumber, polis mendapat maklumat dari orang tempatan yang mendengar bunyi tembakan dari restoran dan pejabat sebuah pusat peranginan di pulau peranginan itu.

Selaras senapang separa automatik M16 turut dilaporkan hilang selepas serangan di Banglo Air Resort itu.

Insiden ini merupakan sambungan dari beberapa siri penculikan sejak pencerobohan Sulu tahun lalu, dengan tiga insiden terakhir berlaku setiap bulan tanpa mengira cubaan yang gagal pada 7 Julai lalu.

Ia juga berlaku tatkala Najib mengumumkan untuk penambahbaikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) selepas dikritik kerana gagal menangani insiden penculikan walaupun membelanjakan jutaan ringgit dalam menyiapkan zon tersebut.

Menurut Bernama, Najib berada di ibu negeri itu di bahagian lain Sabah untuk bertemu pemimpin BN negeri bagi meraihkan sokongan dari "deposit tetap" mereka.

Lari ke negara jiran

Sementara itu, Pengarah Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Abdul Rashid Harun memberitahu, anggota marin yang terbunuh berpangkat koperal dan yang hilang ialah konstabel.

“Kita tidak boleh dedahkan identiti mereka untuk menjaga sensitiviti keluarga," beliau dipetik sebagai berkata kepada Bernama di Kota Kinabalu hari ini.

Menurut Abdul Rashid, selepas melakukan serangan itu kumpulan terbabit melarikan diri ke perairan negara jiran.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kumpulan penjenayah menyasarkan pasukan keselamatan negara susulan peningkatan penguatkuasaan di kawasan itu dengan ramai suspek ditangkap.

"Saya ingin mengingatkan kepada semua anggota dari semua agensi keselamatan kita di kawasan Esscom agar lebih berhati-hati dan sentiasa siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan," beliau dipetik sebagai berkata kepada Bernama.

Sementara itu Najib mengucapkan takziah kepada keluarga Korporal Rajah Jamuan yang terbunuh dan berjanji untuk sedaya upaya mencari Konstabel Zakia Aleip yang dipercayai diculik.

"Takziah kepada keluarga Koperal Rajah Jamuan yang gugur di Mabul.

"Kita akan lakukan sedaya upaya untuk cari dan selamatkan Konstabel Zakia Aleip," tulisnya di Twitter.



Laporan tambahan oleh Gary Lois Supi./Dipetik dari Malaysiakini

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2