PAC puas hati dengan penjelasan belanja K-pop

VIDEO l 3:14 minit

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata jawatankuasa itu berpuas hati dengan penjelasan oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung perbelanjaan semasa sambutan Festival Belia Negara 2012.

Nur Jazlan berkata jawatankuasa itu mendapati tiada sebarang salah laku atau pelanggaran prosedur dalam penganjuran dan perbelanjaan festival itu termasuklah konsert tiga kumpulan pop Korea yang mencetus kontroversi sebelum ini.

"Beliau memberikan jawapan yang memuaskan tentang polisi dan proses yang berlangsung tahun lalu.

"Kami tak bercadang untuk memanggil beliau semula," katanya selepas mendengar penjelasan menteri komunikasi dan multimedia itu selama kira-kira dua jam setengah bermula jam 11 pagi tadi.

Shabery bertanggungjawab ke atas Festival Belia Negara 2012 itu dalam kapasitinya semasa menjawat jawatan menteri belia dan sukan tahun lalu.

Shabery dalam sidang media selepas itu menjelaskan bayaran kepada tiga kumpulan pop Korea yang membuat persembahan itu berjumlah RM900,000.

Katanya, beliau turut menjelaskan kepada jawatankuasa PAC bahawa kerajaan mendahulukan pembayaran untuk konsert tersebut pada bulan Mac tahun lalu sebelum menerima tajaan wang tunai sebanyak RM2.3 juta untuk penganjuran festival berkenaan.

Ia merupakan sebahagian daripada tajaan keseluruhan berjumlah RM30 juta yang meliputi tajaan dalam bentuk lain, sebanyak RM26 juta, dan tajaan penganjuran acara lain.

Menurutnya lagi, penganjuran festival itu menjadi perbincangan ramai apabila fokus diberikan kepada konsert K-pop itu sahaja yang merupakan satu daripada lebih 500 acara yang dianjurkan.

Sedangkan, acara itu berjaya mencapai matlamatnya apabila menarik kira-kira 2.4 juta orang pengunjung dengan anggaran pulangan ekonomi berjumlah RM140 juta, kata Shabery.

"Alhamdulilah, saya rasa perbelanjaan itu justified (wajar) malah, PAC menggalakkan agar ia diteruskan," katanya.


Malaysiakini