Cari Tajuk Yang Di Cari

Rabu, 21 Oktober 2015

[Keluhan Rakyat] Naik taraf jalan sempit, berlubang


 Naik taraf jalan sempit, berlubang

KUALA PILAH – Penduduk Kampung Sungai Dua Kecil Tengah berharap jalan sempit dan berlubang yang dilalui lebih 10 tahun ini dapat dinaik taraf.

Wakil penduduk, Abdullah Abu Kasim, 66, berkata, masalah itu telah dikemukakan setiap kali mesyuarat JKKK bagaimanapun belum ada sebarang tindakan.

“Tahun ini, saya telah utus surat ke Pejabat Perdana Menteri dan telah terima maklum balas bertarikh 19 Ogos 2015.

“Dalam surat itu menyatakan, permohonan baik pulih jalan akan diberi perhatian, malah surat ini juga dihantar kepada setiausaha sulit menteri besar kita," katanya.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini masih belum menerima jawapan daripada pihak berkenaan.

Abdullah berkata, jalan tersebut dilalui 30 hingga 40 kenderaan setiap hari dan amat memberi masalah jika ada kenderaan dari arah bertentangan kerana jalan itu hanya muat untuk sebuah kenderaan sahaja.


Khamis, 20 Ogos 2015

Menyamar jurujual, mencuri ketika solat


Mencuri ketika solat


PALONG - Seorang penerokawati terkedu apabila barang kemas dan duitnya dikebas tiga individu menyamar sebagai jurujual ketika dia sedang solat di rumahnya di Felda Palong 9 di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang, barangan berharga itu dilarikan ketiga-tiga individu terbabit selepas meminta mangsa Miskiah Busri, 54, menanggalkan seutas rantai leher untuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Miskiah berkata, sebelum kejadian dia yang hendak menunaikan solat asar didatangi kesemua suspek termasuk dua wanita yang menawarkan perkhidmatan menjual air dan membaik pulih alat penapis air.

“Dia orang datang nak jual barang tapi mak cik tolak, maklumlah manalah mampu membayarnya. Kemudian mereka pujuk pula untuk buat periksa kesihatan secara percuma.

“Tapi ada syarat, kenalah mak cik buka barang kemas sebab mereka kata peralatannya sensitif dengan emas. Makcik tinggalkan rantai leher dan letak atas meja solek di dalam bilik tidur sebelum meminta izin untuk menunaikan solat," katanya.


Khamis, 13 Ogos 2015

Didenda RM28,000 hantar kandungan lucah


Mahkamah 

CYBERJAYA -  Mahkamah Sesyen Petaling Jaya baru-baru ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM28,000 terhadap seorang pengaturcara komputer kerana menghantar kandungan palsu dan lucah menerusi aplikasi e-mel serta laman sesawang menggunakan identiti mangsanya.
 
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataannya memaklumkan, tindakan tersebut dilakukan oleh pengaturcara komputer berkenaan selepas cinta beliau ditolak. Tertuduh, Hoo Wai Men, 39, telah didakwa atas dua pertuduhan kerana menghantar dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu dan lucah sifatnya, masing-masing pada 23 April 2009 dan 15 Oktober 2009.
 
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd Salleh di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen Petaling Jaya, Tuan Abu Bakar bin Manat ke atas tertuduh di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan, tertuduh mengaku salah terhadap kedua-dua pertuduhan.
 

Sabtu, 11 Julai 2015

Doktor tergamam diacu pistol

 Pistol

BATU PAHAT - “Kau kenal aku tak?, kau kenal aku tak?,” itulah tengkingan salah seorang daripada tiga suspek yang memecah masuk rumah seorang doktor sebuah hospital di daerah ini di Taman Pantai Baru, awal pagi semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.45 pagi, doktor berkenaan, Mohd Nooh Sainorudin, 28, sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja dan tiba-tiba sahaja dia diacu objek yang dipercayai pistol dari arah belakang.

Menurut Mohd Nooh, dia yang ketakutan menurut sahaja kehendak dua daripada suspek berkenaan yang bersenjatakan pistol dan parang, yang kemudiannya mengarah menyerahkan semua barang berharga miliknya.

Katanya, sebaik menyerahkan kunci motosikal berkuasa tinggi miliknya di ditolak ke bilik air, selain dihentak dengan pistol di kepalanya, sehingga mengakibatkan kecederaan.

Selasa, 7 Julai 2015

'Malam ni kita nak tidur di mana?'

'Malam ni kita nak tidur di mana?'
 
DUNGUN - “Ummi, malam ni kita nak tidur di mana?” tanya Shahir Amsyar Mohd Razali, 6, kepada ibunya, Miss Nura Dorlah, 38 apabila melihat rumah mereka ranap dalam kebakaran di Kampung Padang Pulut Stesen, di sini, semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, tiada sesiapa di dalam rumah kerana Miss Nura dan suami, Mohd Razali Hashim, 37, keluar ke bandar Dungun membeli barangan untuk berniaga di Bazar Ramadan, manakala dua anaknya, Syahira Qistina, 13, dan Shahmil Ashraf, 11, bulan berada di rumah datuk mereka serta tiga lagi ke sekolah.

Akibat kejadian itu, keluarga malang ini bukan sahaja tinggal sehelai sepinggang tetapi lebih memilukan, segala keperluan dan pakaian raya yang sudah dibeli untuk anak-anak musnah.

Kata Miss Nura, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu apabila dimaklumkan ahli keluarga dan bergegas pulang tetapi sudah terlambat kerana semuanya hanya tinggal rangka dan abu.

“Sebaik sahaja menerima panggilan mengatakan rumah kami terbakar, saya dan suami mengekori jentera bomba yang dalam perjalanan ke rumah kami.
 

Sabtu, 4 Julai 2015

3,000 akok habis dijual sehari


3,000 akok habis dijual sehari

 LUBOK JONG – Suatu perkara yang biasa sekiranya terpaksa beratur panjang lebih 20 pengunjung dalam satu-satu masa.

Meskipun terpaksa beratur, namun bagi peminat setia kuih ‘akok bunga Risda’, itu semua berbaloi kerana dapat menjamu kuih yang enak dan memenuhi selera pengguna.

Peniaga, Kamaruzaman Pak Adik, 56, berkata, sebanyak 3,000 kuih akok bunga dapat dijual dalam masa sehari sepanjang Ramadan kali ini.

Menurutnya, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pelanggan tetap malah sebahagiannya adalah pelanggan baharu yang mahu mencuba sendiri keenakan kuih akok selepas diberitahu rakan-rakan.

“Dia tidak ada sebarang rahsia atau pantang larang malah resipi akok yang digunakan juga merupakan resipi sama sejak 20 tahun lalu.

“Kita jangan kedekut kerana bagi menghasilkan kuih yang berkualiti, rasa berlemak dan sedap adalah bergantung kepada kandungannya,” katanya.


Khamis, 2 Julai 2015

Wang RM17,000 lesap ketika solat

Wang RM17,000 lesap ketika solat
 ROMPIN – Seorang peneroka yang singgah menunaikan sembahyang Zohor di Masjid Muadzam Shah selepas mengeluarkan sejumlah wang di sebuah bank di sini, menanggung kerugian selepas cermin keretanya dipecahkan sekitar jam 1.15 petang kelmarin dan beberapa barang termasuk wang tunai hilang.
 
Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata, kereta mangsa diletak di ruang parkir masjid manakala beliau meninggalkan beg yang mengandungi wang di bawah tempat duduk depan.
 
“Mangsa merupakan seorang peneroka di sebuah Felda sekitar Muadzam Shah telah singgah di Masjid Muadzam Shah untuk menunaikan sembahyang Zohor selepas mengeluarkan wang berjumlah RM17,000 untuk tujuan peribadi.
 
“Selepas selesai menunaikan sembahyang, mangsa keluar masjid dan ketika tiba di keretanya yang diletak di ruang parkir berhampiran tandas lelaki, beliau mendapati cermin kereta pintu depan sebelah kiri telah dipecahkan. Setelah memeriksa mangsa mendapati beg galas yang mengandungi kad pengenalan, kad ATM, buku bank dan wang tunai RM17,000 yang diletak di bawah tempat duduk depan telah lesap,” katanya kepada Sinar Harian.
 

Khamis, 25 Jun 2015

Kesesakan trafik bangkit kemarahan pengguna jalan raya


Kesesakan trafik bangkit kemarahan

TANAH MERAH - Tindakan pihak berkenaan melakukan kerja pembaikan Jambatan Kusial di Jalan Tanah Merah-Jeli, dekat sini, pada waktu puncak sejak seminggu lalu membangkitkan kemarahan pengguna jalan raya berkenaan.

Kerja pembaikan dimulakan ketika orang ramai mahu ke tempat kerja di waktu pagi dan berterusan sehingga waktu balik kerja pada sebelah petang, menyebabkan pengguna laluan berkenaan terpaksa berdepan kesesakan luar biasa.

Seorang pengguna, Izani Zakaria berkata, pihak bertanggungjawab sepatutnya mengambil kira kepentingan orang ramai dengan tidak melakukan melakukan kerja pembaikan jambatan tersebut ketika waktu puncak.

“Apa salahnya kalau buat kerja di luar waktu puncak atau pun selepas waktu tengah malam ketika jalan ini tidak sibuk dengan kenderaan. Bukannya waktu orang ramai sibuk nak pergi dan balik kerja.

“Kesesakan luar biasa di jambatan ini berlaku dari hari pertama kerja pembaikan bermula, iaitu, dua hari sebelum 1 Ramadan dan berlarutan sehingga hari ini,’’ katanya, semalam.


Selasa, 23 Jun 2015

Jempol N.S : Perkenal Nasi Arab pandu lalu


 Perkenal Nasi Arab pandu lalu

JEMPOL - Mini RTC Serting Ilir di sini bakal melancarkan Nasi Arab pandu lalu (drive thru) yang akan diusahakan sepenuhnya oleh usahawan bimbingannya dijangka awal bulan Julai depan.

Pengurusnya, Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar berkata, pendekatan itu diambil bagi membantu usahawan terlibat yang telah menghadiri kursus masakan Nasi Arab di Mini RTC sebelum ini.

“Ketika ini kita dalam proses menyiapkan kertas kerja berhubung perlaksanaan dan beberapa perkara penting kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) susulan kita menggunakan ruang di Mini RTC di sini.

“Beberapa usahawan telah dikenal pasti untuk menjayakan projek ini, yang mana masakan, dan segala resepinya adalah disiapkan oleh mereka. Setakat ini, hasil tinjauan kita di sekitar daerah Jempol, belum ada yang menjual Nasi Arab ini dan istimewanya ia adalah lain daripada yang lain,” katanya.

Nurulazma berkata, pihaknya akan memperkenalkan Nasi Arab berkenaan ketika majlis  berbuka puasa dan meraikan anak yatim hujung bulan nanti.


Isnin, 22 Jun 2015

Terkejut caj bil elektrik meningkat sekali ganda

Terkejut caj bil elektrik meningkat sekali ganda
 AMPANG - Sebuah syarikat sekuriti di Taman Melawati, di sini, mempersoalkan jumlah bil elektrik premis mereka yang meningkat dua kali ganda setelah pemasangan meter baharu dibuat.

Wakil syarikat yang mahu dikenali sebagai Nurul Aina Shasudin berkata, bil elektrik yang biasa diterima dalam lingkungan RM900 ke RM1,000 sebulan, namun sejak pemasangan meter baharu ia mencecah sehingga RM2,300.

Katanya, pemasangan meter baharu dibuat pada Februari, Mac pihaknya tidak menerima sebarang bil, manakala pada April, bil yang diterima sudah meningkat.

“Pada April, GST mula dilaksana jadi kami fikir mungkin peningkatan bil ada kaitan dengan GST. Tapi bila terima bil Mei, bil semasa mencecah RM2,342.50.

“Hairan  macamana boleh meningkat sekali ganda sebab penggunaan sama saja,” katanya.

Tambahnya, berikutan itu beberapa surat aduan dihantar, malah Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari Melawati juga telah datang membuat pemeriksaan meter.

Jumaat, 19 Jun 2015

Gua Musang : Mangsa banjir sambut Ramadan dalam khemah

Mangsa banjir sambut Ramadan dalam khemah Mangsa banjir sambut Ramadan dalam khemah

GUA MUSANG - Ramadan tahun ini mencabar bagi 45 keluarga apabila terpaksa disambut dalam khemah di penempatan sementara mangsa banjir Bandar Utama berikutan rumah kekal mereka yang dibina kerajaan masih belum siap.

Namun mereka tidak kekok menjalani ibadat puasa di khemah berkenaan kerana enam bulan menetap di situ selepas kediaman mereka musnah akibat banjir Disember tahun lalu.

Mereka baki daripada 108 keluarga mangsa banjir sekitar Gua Musang yang masih tinggal dalam khemah berikutan tidak mampu menyewa rumah dan belum ditawarkan berpindah ke kediaman transit di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), di sini.

Tinjauan mendapati tiada khemah besar disediakan untuk 225 penduduk menunaikan solat secara berjemaah termasuk solat sunat tarawih bagaimanapun terdapat sebuah masjid di Kampung Rahmat, 300 meter dari penempatan sementara itu.


Rabu, 17 Jun 2015

Penduduk pasir mas rayu baiki jalan rosak


 Penduduk rayu baiki jalan rosak

PASIR MAS - Lebih 300 penduduk merayu pihak berkenaan supaya segera membaiki jalan di Kampung Kubang Panjang, dekat sini, yang rosak dan tidak lagi selamat untuk digunakan.

Wakil penduduk, Mohd Azhar Abdullah, 43, berkata, pengguna jalan berkenaan terpaksa berdepan keadaan bahaya setiap kali melaluinya terutama pada waktu malam.

Menurutnya, kawasan tersebut gelap dan pengguna jalan mengalami kesukaran untuk mengagak kedalaman lubang yang terdapat pada laluan tersebut.

"Laluan ini merupakan jalan utama bagi penduduk untuk ke kawasan bandar atau ke tempat kerja. Ia turut menjadi laluan utama anak-anak penduduk berulang-alik ke sekolah.

"Saya bimbang jika masalah ini tidak diatasi segera, ia boleh membawa kemudaratan kepada penduduk dan kita tak mahu tunggu berlaku kemalangan baru tindakan diambil," katanya.


Selasa, 16 Jun 2015

Kesusahan hidup Terpaksa ikat perut dalam pondok


Terpaksa ikat perut dalam pondok

PONTIAN - Kesusahan hidup yang dihadapi menyebabkan empat beranak di Kampung Serkat Laut di sini terpaksa menghuni sebuah pondok dan mengikat perut.

Alias Awang, 52, berkata  pendapatan sebagai nelayan tidak mencukupi menampung perbelanjaan harian dia kini tinggal bersama anak Mohd Jasman, 27, menantu, Siti Nordiyana Jamil, 22 dan cucu yang kini berusia 6 bulan.

“Kadang-kadang kami terpaksa berlapar kerana tidak punya wang, hasil tangkapan ikan dan udang semakin kurang sejak kerja-kerja pembinaan benteng di Tanjung Piai.

“Suatu masa dulu pak cik pernah berlapar, asalkan ada duit untuk memberi makanan kepada cucu, Siti Nur Shahidah yang berusia 6 bulan,” katanya ketika menerima kunjungan Persatuan Prihatin Kempas di Kampung Serkat Laut, di sini, kelmarin.

Jelasnya Alias, dia dan anaknya mencari rezeki sebagai nelayan pantai namun mereka masih tidak mempunyai bot dan terpaksa meminjam dari rakan.

Isnin, 15 Jun 2015

Penduduk perlu kemudahan surau

 Penduduk perlu kemudahan surau
KUALA BERANG - Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Kirana, di sini, memohon pihak berkaitan melihat keperluan pembinaan sebuah surau di kawasan perumahan tersebut sekali gus mempercepatkannya bagi memberikan kemudahan kepada penduduk setempat.
 
Difahamkan, taman perumahan itu mula didiami pada 2013 dan berikutan ketiadaan kemudahan surau di situ, penduduk perlu ke Masjid Pekan Ajil atau Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang yang terletak kira-kira lima kilometer untuk menunaikan solat berjemaah.
 
Setiausaha Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Kirana, Abu Talib Nor, 41, berkata, jumlah keluarga di taman perumahan tersebut kini seramai 217 keluarga dan kemudahan sebuah surau sememangnya menjadi satu keperluan buat mereka kini terutamanya sepanjang Ramadan.
 
“Permohonan untuk pembinaan sebuah surau atas tanah berkeluasan kira-kira 0.12 hektar di sini telah pun diangkat kepada pihak berkaitan sekitar 2013, tetapi sehingga kini masih tiada sebarang jawapan diterima.
 
“Sehubungan itu, diharapkan pihak berkenaan dapat melihat keperluan penghuni. Malah, ia nanti bukan sekadar tempat beribadah semata-mata tetapi juga sebagai pusat atau lokasi aktiviti khususnya program keagamaan," katanya.
 

Sabtu, 13 Jun 2015

Berhenti hisap rokok demi cucu

Berhenti hisap rokok demi cucu
 
ALOR SETAR - Seorang perokok tegar dari Kampung Tanjung Bendahara, di sini, sanggup berhenti merokok demi kesihatan cucu lelakinya, Ahmad Ziyad Rizqi, enam bulan.
 
Abu Bakar Mohamoni, 68, berkata, dia mula menghisap rokok sejak berusia 15 tahun dan hanya terlintas untuk berhenti merokok Disember lalu.
 
"Setelah 53 tahun merokok, saya nekad hendak berhenti selepas mengenangkan kesihatan cucu yang baru dilahirkan.
 
"Masa itu, saya terfikir masa depan cucu kalau dia terus terpaksa menghidu asap rokok yang saya hisap," katanya ketika Sambutan Hari Tanpa Tembakau-Nafas Baru Bermula Ramadan 2015 Peringkat Daerah Kota Setar, di Klinik Kesihatan Simpang Kuala, di sini, kelmarin.
 
Hadir dalam program berkenaan, Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Simpang Kuala, Dr Fazlin Suhana; Ketua Unit Inspektorat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar, Mhd Hussain L Yusof dan Pegawai Pendidikan Kesihatan PKD Kota Setar, Norejan Nordin.
 

Isnin, 25 Mei 2015

Subhanallah , Telah Berlaku Satu Kejadian Aneh Pada Jenazah Seorang Lelaki Ketika Di Mandikan Jasadnya..

Cerita ini diceritakan semula oleh seorang insan yang mengenali rapat dengan pemuda ini...

Apa yang berlaku adalah sebagai pengajaran dan pedoman buat kita yang masih bernyawa
Kisah dan kejadian itu sangat menakutkan tetapi apa yang lebih penting bagi saya ialah kita sebagai hamba-Nya hendaklah insaf dan membersihkan diri kita agar kita juga nanti tidak akan diaibkan sedemikian rupa...

Sepanjang lebih 15 tahun menguruskan jenazah, memang banyak pengalaman pelik yang telah saya lalui. Kisah yang ingin saya ceritakan kali ini ialah mengenai jenazah yang mendapat kemuliaan daripada Allah...

Kisah ini berlaku dalam 12 tahun yang lalu ketika saya baru sahaja bekerja selama tiga tahun bekerja dengan Pejabat Agama Islam Klang....

Yang menimbulkan keinsafan ialah apabila Allahyarham itu saya wudukkan saja, kulitnya yang hitam tiba-tiba bertukar menjadi putih kemerah-merahan...

Wajahnya perlahan-lahan bertukar seperti sedang tersenyum. Sangat tampan, berbeza dengan raut wajahnya semasa hidup....

Jumaat, 24 April 2015

PAS Johor tolak Hadi ?

Oleh Subky Latif

PAS Johor nampaknya amat demokratis dan peka de ngan kehendak perlembagaan parti.

 Belum sempat kawasankawasan PAS mengadakan muktamar, pesuruhjaya mengumumkan pentadbiran PAS negeri itu me ngambil sikap terbuka, membebaskan kawasan-kawasan membuat pilihan mencalonkan presiden.

Tidak terikat dengan desakan ulama mengekalkan presiden yang ada atau bebas dari tafsir kepimpinan ulama itu tidak presiden dan timbalannya mesti ulama sekalipun dua kali berturut-turut sebelum ini pesuruhjayanya adalah ulama, Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok dan Dr Mahfodz Mohamed.

Dan apabila muktamar kawasan tiba, satu kawasan dari di Johor mencalonkan presiden lain daripada Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagaimana yang kencang digembur oleh orang di luar PAS dan setengah dari orang PAS.


Isnin, 20 April 2015

Awas suara Gunung Semanggol, Hadi

Oleh Abdul Rahim Sabri & Jimadie Shah Othman


Gunung Semanggol di Kerian, Perak, menyimpan sejarah perjuangan 'radikal' Islam terawal di Malaysia.

Pada Mac 1948 Hizbul Muslimin atau Parti Orang Muslimin Malaya ditubuhkan oleh seorang guru pondok Abu Bakar al-Baqir dengan seruan antipenjajah British.

Digelar “suara dari gunung”, Hizbul Muslimin menakutkan penjajah sehingga parti Islam pertama ditubuhkan itu menjadi parti Islam pertama diharamkan di Malaya.

Ketika Hizbul Muslimin ditubuhkan, tokoh ulama PAS Ahmad Awang berumur 12 tahun.

Kini, di usia emas 79 tahun, Ahmad disebut-sebut sebagai alternatif terbaik untuk membawa suara 'radikal' dalam kepimpinan PAS yang diterajui Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Khamis, 16 April 2015

Kenapa Ustaz Ahmad Awang perlu diangkat menjadi Presiden



Pengalaman beliau didalam organisasi Ngo Islam dan didalam parti.

Di samping menjalankan tugas-tugas rasmi dalam perkhidmatan kerajaan, Ustaz Ahmad Awang aktif menyertai dan menerajui pertubuhan-pertubuhan NGO di pelbagai bidang khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan.
 Di antaranya beliau menerajui pimpinan Persatuan Ulama Malaysia selama kira-kira 17 tahun, dan Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan lebih 20 tahun.

 Lain-lain pertubuhan yang pernah beliau pimpin adalah Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah, Persatuan Bekas Pelajar Maahad Al-Ehya’ Ash-Shariff Gunung Semanggol dan Persatuan Pelajar Kolej Islam Malaya.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Panel Syariah Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia, Timbalan Pengerusi Panel Syariah Bank RHB, dan anggota Panel Syariah beberapa institusi kewangan yang lain.


Sabtu, 28 Mac 2015

Ustaz Ahmad Jailani: Khutbah Jumaat | Pertembungan Sesama Islam

Revolusi Perniagaan, Cara Mudah Dapat Duit Banyak..

 

Salam Sejahtera...Kami melihat perniagaan periklanan boleh menjadi salah satu sumber untuk menjana pendapatan yang sangat lumayan kepada sesiapa yang mengusahakannya.

Dengan ini kami merasakan perniagaan ini memberi kami satu peluang yang sangat baik.

Untuk memulakan perniagaan ini kami memerlukan strategi yang boleh berkembang tanpa had, oleh itu kami memilih iklan online yang boleh mengembangkan perniagaan ini.

Khamis, 19 Mac 2015

UCAPAN PERBAHASAN DATO HUSAM MUSA : ENAKMEN JENAYAH SYARIAH 2015 DI SIDANG DUN KELANTAN

فَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ (5:50)

Apakah hukum Jahiliah yang menjadi pilihan mereka, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang benar-benar yakin?

Dalam Persidangan DUN pada Oktober 2013, saya telah bangkitkan pentingnya langkahan diambil untuk mempastikan Enakmen Jenayah Syariah II melihat sinar pelaksanaan dan tidak hanya menjadi momokan menjelang pilihanraya.

Sidang kali ini, kita akan meluluskan sekali lagi penjelmaan semula Enakmen yang telah diluluskan pada tarikh bersejarah 1993, dengan beberapa pindaan, kerana sebab-sebab teknikal yang tertentu.
Enakmen 2015 disekalikan dengan beberapa pindaan dari Enakmen asal 1993.

Rabu, 18 Mac 2015

Lebih dua juta pekerja asing sah bekerja di Malaysia


 

Sejumlah 2.07 juta pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara direkodkan berada di negara ini setakat 31 Disember tahun lepas, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata kemasukan warga asing itu khususnya didorong kebergantungan negara terhadap pekerja asing bagi sektor-sektor yang dikategorikan sebagai kritikal.

"Kekurangan minat pekerja tempatan menceburi sektor pekerjaan yang tiada nilai komersial dan kebolehtahanan pekerja tempatan yang tidak kekal juga menyebabkan tenaga kerja asing menjadi sandaran pelbagai sektor di negara ini," katanya.



Khamis, 5 Mac 2015

Mengaku curi jam Rolex RM40,000

Mengaku curi jam Rolex RM40,000
 
KOTA BHARU - Seorang tukang cuci mengaku bersalah atas tuduhan mencuri jam tangan Rolex bernilai RM40,000 milik seorang doktor ketika dihadapkan ke mahkamah majistret, di sini, semalam.

Muhamad Azmie Abdul Kahar, 20, mengaku salah didakwa mencuri jam tangan tersebut di dalam bilik doktor di Istana Kubang Kerian, di sini, pada jam 2 petang, 26 Februari lalu.

Hukuman terhadap tertuduh bagaimanapun ditangguhkan bulan depan bagi mendapatkan laporan sosial tertuduh terlebih dahulu berikutan dia adalah pesalah muda.

Pekerja kontrak terbabit berdepan hukuman penjara sehingga  10 tahun dan boleh juga dikenakan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Rabu, 4 Mac 2015

Lelaki maut ditikam bertubi-tubi

Kes jenayah
 
ALOR SETAR - Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditemui maut dengan kesan tikaman.
 
Kejadian kira-kira jam 1.30 pagi tadi di Taman Anggerik, di sini menyebabkan mangsa mati di tempat kjadian.
 
Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, mangsa dipercayai ditikam beberapa kali dengan senjata tajam.
 
"Punca siasatan masih dalam siasatan.
 
"Orang yang punyai maklumat boleh hubungi pihak polis," katanya kepada media, semalam.
 
Sinar Harian

Khamis, 26 Februari 2015

Selasa, 24 Februari 2015

Geng dadah guna Facebook rekrut pelajar

 Geng dadah guna Facebook rekrut pelajar
KOTA BHARU - Sogokan dan ganjaran mewah yang ditawarkan golongan pengedar untuk merekrut pelajar menyertai mereka dalam 'geng' dadah melalui laman sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp menarik minat ramai remaja di negeri ini terlibat dalam kancah sosial terbabit.
 
Taktik rangkaian pengedar itu yang dipercayai merupakan rakan sekampung dan kenalan sekolah pelajar berkenaan, aktif menjalankan aktiviti terbabit melalui cara itu sejak sekian lama memandangkan mereka mudah mempengaruhi golongan terbabit yang sudah dikenali rapat.
 
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, akibat termakan pujuk rayu untuk mendapat kehidupan mewah dengan mudah, ramai yang terjebak sehingga menyebabkan masa depan mereka musnah.
 

Jumaat, 20 Februari 2015

Kaji gaji minimum setiap dua tahun


pekerja


SHAH ALAM - Kerajaan perlu membuat kajian berhubung gaji minimum setiap dua tahun bagi melihat kesan positif dan negatif berhubung pelaksanaan berkenaan terhadap majikan serta pekerja.

Dekan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara, Prof Dr Faridah Hassan berkata, selain melihat kesannya kepada pekerja, kajian berkenaan juga bertujuan untuk mendapatkan maklum balas majikan.

“Seperti sedia maklum, gaji minimum ini hanya bertumpu kepada kumpulan berpendapatan rendah dan bukan untuk golongan profesional dan menengah serta ia patut dipatuhi majikan.


Ahad, 15 Februari 2015

Page FB Revolusi Malaysia Terbaru dan Terkini untuk tujaan menyedarkan rakyat.





Pada hari ini satu page revolusi malaysia telah tertubuh.. Page ini bertujuaan untuk menyedarkan rakyat malaysia untuk menukar kerajaan malaysia..

Revolusi malaysia di tubuhkan pada tarikh 15/2/15 hari ahad.Rakyat malaysia di minta untuk memberi sokongan dan menyebarkan kepada yang belum mengetahui lagi page ini.

Dengan mengunakan logo panji hitam yang berlambang kalimah sahadah foto profile. Semasa menulis ini likes seramai 5 orang dalam masa 2 jam.

Link page ini :  https://www.facebook.com/revolusimalaysia

admin PRO-fm

Sabtu, 14 Februari 2015

Lelaki menyamar anggota polis dicekup

Zainol (tiga, kiri) menunjukkan antara senjata tajam yang dirampas dalam Ops Rentap Khas.

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki mencari jalan singkat untuk mendapat wang dengan menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun terbongkar selepas dicekup dalam Ops Rentap Khas, di Jalan Ampang, Selasa lalu.

Dalam operasi bermula jam 9.40 malam itu, polis menahan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki seorang lelaki berusia 38 tahun bersama dua lelaki warga Nepal.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, sepucuk pistol jenis semi auto tiruan berwarna hitam ditemui.

Menurutnya, turut ditemui pelbagai barang disyaki peralatan pecah rumah, sebilah pisau dan batang besi yang disorokkan di dalam bonet serta bersebelahan tempat duduk pemandu.

Khamis, 12 Februari 2015

Ibu, anak kecil nyaris maut

Keadaan kereta mangsa yang terbalik berhampiran Persiaran Tujuan, kelmarin

SUBANG JAYA -Seorang ibu dan anaknya yang berusia dua tahun setengah nyaris maut apabila kereta dinaiki terbalik berdekatan simpang di Persiaran Tujuan, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa berusia 31 tahun dan anak lelakinya hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, ketika kejadian, mangsa memandu kereta jenis Toyota Altis milik kakaknya dan dalam perjalanan dari Batu 3 Shah Alam menghala ke Bandar Sunway.

Beliau berkata, mangsa dikatakan mengekori kereta dipandu suaminya.

Selasa, 10 Februari 2015

Anwar Ibrahim bersalah, mahkamah tangguh sejam

liwatII

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Mahkamah Persekutuan sebentar tadi memuktamadkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah meliwat pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun lalu.

Keputusan sebulat suara yang dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria itu menolak rayuan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Bagimanapun, mahkamah ditangguhkan sejam bagi pihak pendakwaan mengemukakan hujahan berhubung hukuman terhadapnya.

Arifin membacakan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Turut bersidang, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Isnin, 9 Februari 2015

KWSP umum dividen 6.75 peratus 2014

kwspl-600x360

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 6.75 peratus dan pendapatan pelaburan kasar RM39.08 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, meningkat 11.66 peratus berbanding RM35.00 bilion pada 2013.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata bayaran dividen bagi 6.75 peratus berjumlah RM36.66 bilion di mana RM5.41 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen bagi 2014.

Menurutnya, ia merupakan peningkatan sebanyak 10.53 peratus berbanding RM4.91 bilion yang dibayar untuk setiap satu peratus kadar dividen pada 2013, selaras dengan simpanan pencarum yang meningkat.
 

Ahad, 8 Februari 2015

Nyaris maut banglo terbakar

Foto (hiasan)

SIMPANG – Sebuah keluarga nyaris maut apabila banglo mewah didiami mereka di Taman Menteri, di sini musnah terbakar, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu turut menyebabkan dua kereta jenis Mercedes dan Honda serta tiga motosikal iaitu Scrambler, Suzuki dan Kawasaki, rentung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Hasna Rashid berkata, ketika kejadian, terdapat tiga ahli keluarga berada di rumah tersebut.

Menurutnya, bagaimanapun tiga beranak itu berjaya keluar menyelamatkan diri.

Sabtu, 7 Februari 2015

Seorang lelaki maut ditembak dalam kejadian samun di sebuah kedai peralatan binaan

Kesan darah di lokasi kejadian.

BACHOK - Seorang lelaki maut ditembak dalam kejadian samun di sebuah kedai peralatan binaan di Beris Lalang, kira-kira jam 5.45 petang, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, ketika kejadian, mangsa, Mustafa Siddiq, 52, berada dalam premisnya bersama isteri, Norhaizan Mohd Zin, 45, dan anaknya, Ainul Wahida, 18, serta seorang pekerja mereka.

“Mustafa cedera di kiri perut dan lutut kanan. Mangsa bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, kira-kira jam 7.40 malam. Anak mangsa juga ditembak di paha, kini dirawat di Hospital Universiti Kubang Kerian (HUSM).

“Suspek sudah dikenal pasti berdasarkan maklumat diberikan saksi. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, kerugian dianggarkan RM1,000 dan suspek dikatakan menggunakan kereta Proton Preve berwarna hitam dengan nombor pendaftaran CDC 4561.

Jumaat, 6 Februari 2015

Bapa belasah anak gara-gara rokok

Muhamad Zaki ketika melawat kanak-kanak malang itu yang mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar, semalam.
SEREMBAN -  Hanya kerana tidak dapat membeli rokok seperti diminta, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditumbuk, ditendang dan dilibas dengan tali pinggang oleh bapanya sendiri dalam kejadian di Taman Jujur, Sikamat, di sini, kelmarin.
 
Kanak-kanak malang itu bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas melarikan diri ke rumah jiran tidak jauh dari situ sebelum mengadu dirinya dipukul.
 
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, mangsa sebelum itu diminta oleh bapanya yang berusia 37 tahun untuk ke kedai runcit bagi membeli dua batang rokok.
 
“Tapi bapa mangsa tidak memberikan wang. Sebaik saja mangsa pulang ke rumah tanpa membawa rokok seperti yang diminta, bapanya telah menumbuk kedua-dua belah pipi mangsa, memukulnya dengan menggunakan tali pinggang dan menendang dada mangsa.
 

Rabu, 4 Februari 2015

KL Lelaki putih mata, Ferrari rentung


 Kereta jenis Ferrari rentung dalam satu kejadian di Jalan Travers, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berputih mata selepas kereta yang dipandunya jenis Ferrari rentung dalam satu kejadian di Jalan Travers, dekat sini, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Isyarudin Ishak berkata, bagaimanapun pemandu berusia lingkungan 30-an tersebut berjaya menyelamatkan diri selepas menyedari api pada keretanya.

Menurutnya, kejadian kira-kira 6 petang berjaya dikawal 10 minit kemudian.

"Kita masih siasat punca kejadian. Kereta mewah tersebut rentung keseluruhan dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata, tiada kecederaan pada mangsa.

Sinar Harian

Isnin, 2 Februari 2015

Mangsa tsunami tuntut janji 10 tahun lalu..

Ismail dan isteri, Maznah Ismail meneliti dokumen berhubung senarai mangsa terlibat tsunami
yang merayu agar hak mereka ditunaikan.

SUNGAI PETANI – Seramai 108 mangsa tsunami Kuala Muda, Kedah kempunan untuk berpindah ke rumah baharu sepertimana yang dijanjikan 10 tahun lalu.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tepi Sungai, Ismail Othman berkata, kebanyakan mangsa masih menetap di lokasi asal rumah mereka yang rosak dan sebahagian lagi sudah pun dipindahkan melalui fasa pertama.

Beliau yang berpengalaman menjadi pengerusi JKKK selama 10 tahun dan setiausaha JKKK selama 12 tahun berkata, bagi fasa pertama iaitu bagi kategori rumah musnah teruk, 123 umah siap dibina di Taman Permatang Katong, Kota Kuala Muda, dua tahun selepas tsunami.

“Bagaimanapun, terdapat 108 mangsa (berdasarkan bancian terdahulu) yang masih menanti untuk dipindahkan kerana dijanjikan untuk terlibat dalam projek fasa kedua pembinaan,” dakwanya kepada Sinar Harian.

Sabtu, 31 Januari 2015

Bersabung nyawa untuk ke sekolah

Murid SK Pulau Beluru bersama ibu bapa masing-masing menaiki rakit menyeberangi Sungai Kelantan untuk ke Pulau Teluk Renjuna, Tumpat.

TUMPAT – Tiada pilihan lagi buat kira-kira 200 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru, selain menaiki rakit yang ditarik oleh penduduk saban hari untuk berulang-alik ke sekolah.

Sejak sebulan lalu, murid-murid sekolah berkenaan terpaksa bersabung nyawa demi menuntut ilmu, selepas jambatan yang menghubungkan Pulau Teluk Renjuna - Pulau Beluru runtuh akibat bah kuning penghujung tahun lalu.

Seawal jam 7 pagi, murid  dari Pulau Teluk Renjuna bersesak menunggu giliran bagi menaiki rakit tersebut untuk menuju ke SK Pulau Beluru yang terletak bersebelahan dan dipisahkan oleh Sungai Kelantan.

Penduduk, Che Esah Abdullah, 56, berkata, sejak jambatan itu runtuh, 1,000 penduduk di kedua-dua pulau berkenaan termasuk murid sekolah berdepan masalah untuk berulang alik setiap hari.

Jumaat, 30 Januari 2015

Pekerja lebih setia jika dibayar bonus


Jobstreet

SHAH ALAM – Kakitangan atau pekerja di sesebuah syarikat akan memilih untuk setia dan bekerja dengan lebih gigih sekiranya mereka dibayar bonus oleh majikan, menurut kajian Jobstreet.com.

Berdasarkan kajian yang berjudul Jobstreet.com-Job Outlook Report Q1 2015, 58 peratus pekerja memilih untuk terus bekerja di syarikat yang sama setelah dibayar bonus oleh majikan masing-masing.

Manakala 42 peratus lagi memilih untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Sejumlah 358 majikan dari luar negara, 605 majikan tempatan dan 877 pekerja mengambil bahagian dalam survey Job Outlook Report Q1 2015 yang dijalankan oleh pihak kami.


Rabu, 28 Januari 2015

Bekas pegawai imigresen ditahan kerana menyamun

Mohd Mokhtar (empat, kanan) melihat barangan dirampas disyaki digunakan untuk kegiatan samun.

JOHOR BAHRU - Bekas pegawai imigresen antara tiga lelaki yang ditahan dipercayai terlibat dalam kejadian samun di Majidee, di sini kira-kira jam 2 pagi Rabu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, anggota polis bertindak atas maklumat yang diterima dan berjaya menahan tiga lelaki berumur lingkungan 22 hingga 43 tahun dalam tempoh sejam selepas kejadian samun.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kereta dan sepasang gari yang disyaki digunakan untuk aktiviti samun.

“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk dadah, selain ujian saringan air kencing mendapati dua daripadanya positif dadah.

Selasa, 27 Januari 2015

Tiga tahun tidur bawah jambatan

Ibrahim membina dangau kecil di bawah jambatan Sungai Gali, Kandis, untuk dijadikan kediaman sejak tiga tahun lalu.

BACHOK - Dia mungkin masih muda berbelas tahun lalu dan tenaganya ketika itu masih kuat untuk bekerja sebagai buruh kontrak di Kuala Lumpur.

Namun usia Ibrahim Mohd Ali kini sudah mencecah 60-an dan tidak lagi berdaya membuat kerja berat, sementelah matanya cedera kerana tercucuk buluh ketika berada di laut suatu ketika dahulu, menyebabkan sebelah daripadanya tidak nampak.

Kini, Ibrahim hanya menjadi nelayan pesisir pantai dan adat orang dagang, dia yang berasal dari Bukit Abal, Pasir Puteh, membawa diri dan membina sebuah dangau di bawah jambatan Sungai Gali, Kandis, di sini, sejak tiga tahun lalu.

Isnin, 26 Januari 2015

Tujuh ditipu syarikat beli kereta

Peter Tan (empat, kiri) bersama tujuh mangsa yang ditipu syarikat berkenaan mohon pihak berkuasa bertindak segera.
KLANG – Hasrat tujuh mangsa menjual kereta mereka kepada sebuah syarikat menerusi 'online' berakhir dengan kerugian apabila ditipu dalam urus niaga tersebut.

Syarikat yang dimiliki seorang peniaga berpangkat ‘datuk’ itu bukan sahaja gagal melunaskan bayaran, bahkan juga tidak menukar nama geran atau status kereta.

Mangsa, Mohd Zainorizam Mohammad, 28, berkata, dia berhasrat menjual kereta jenis Perodua Myvi Se yang dibeli pada 2013 lalu dengan harga RM42,500.

Menurutnya, dia mahu menjual kereta itu untuk membeli Honda Jazz, lalu mengiklankannya menerusi sebuah portal jual-beli pada 18 Oktober tahun lalu.

Ahad, 25 Januari 2015

TRAGEDI YG DISENGAJAKAN. ANGKARA SIAPA?. MINYAK DIESEL SEPANJANG 600 METER DICURAH ATAS JALANRAYA KARAK


AWAS.. BAHAYA ~ Lagi kemalangan akibat minyak diesel yg sengaja dicurahkan atas jalan di Karak Highway (selepas Terowong Genting). Hati2 ... bukti jelas minyak sepanjang hampir 600 meter atas jalan... ANGKARA siapakah semua ini?.

Jumaat, 23 Januari 2015

Imam selamatkan budak ditukar agama


Razali (kiri) merujuk masalah Muhammad Arqam (tengah) kepada Pembela BN Negeri Melaka, semalam.
AYER KEROH - Tindakan pantas seorang imam masjid di Tangga Batu, berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak Islam berusia 8 tahun menukar agama lain, selepas dia diserahkan kepada keluarga bukan Islam.

Kanak-kanak terbabit, Muhammad Arqam Nur Ansal diserahkan kepada keluarga beragama Kristian selepas ibu-bapanya yang berasal dari Filipina ditahan Imigresen dan dihantar pulang ke negara asal.

Imam terbabit, Razali Othman, 53, berkata, dia menemui kanak-kanak itu selepas diberitahu seorang jemaah masjid mengenai ada seorang budak lelaki di sebuah pusat bimbingan kanak-kanak yang sudah ditukarkan agama serta namanya.

Isnin, 19 Januari 2015

Tak sanggup lagi lalu lopak maut


 Pengguna jalan raya tidak mempunyai pilihan dan terpaksa melalui jalan yang tidak rata dan rosak setiap hari.

 SHAH ALAM - "Saya terpaksa 'terbang' tiap kali nak elak lubang-lubang di sini." Itu antara reaksi pengguna jalan raya di Seksyen 15 di sini.

Seorang pekerja swasta, Mohd Farizwan Hassan, 18, berkata, selain risaukan keselamatan diri, dia terpaksa berdepan masalah tayar pancit yang kerap setiap kali terlanggar lopak.

“Nyawa kami ibarat di hujung tanduk, bajet pun tak cukup sebab selalu kena baiki motosikal,” katanya,

Reaksi sama turut dilahirkan seorang pemandu teksi, Omar Hussin, 60.

Pengalamannya melalui jalan di sepanjang Seksyen 15 memang menyukarkan malah terpaksa keluar duit lebih untuk baiki kenderaan.


Ahad, 18 Januari 2015

Lelaki maut ditembak di kepala


 16_M
 Seorang lelaki berusia 27 tahun maut selepas ditembak individu yang tidak dikenali di kawasan letak kereta di pangsapuri Desa Ria, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Suresh bersama tiga rakannya sedang minum di kawasan kediaman mereka.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, sebuah kereta dipercayai jenis Hyundai Sonata berwarna hitam menghampiri mangsa dan rakan sebelum melepaskan empat das tembakan.

Sabtu, 17 Januari 2015

'Pulih dengan izin ALLAH SWT'

Keadaan Wan Rohana November lalu sewaktu beratnya cuma 24kg.
KAMPUNG DURIAN KASIM - Ibu tunggal dua anak, Wan Rohana Wan Mohamad, 34, bersyukur kerana kesihatannya kini beransur pulih berbanding sebulan lalu, malah berat badannya juga meningkat kepada hampir 30 kilogram (kg) berbanding cuma 24kg sebelum ini.

Menurut Wan Rohana, lebih menggembirakan apabila dia bukan sahaja dapat menguruskan diri sendiri, tetapi juga mampu menyediakan sarapan untuk anak-anaknya ke sekolah sebagaimana dilakukannya sebelum ini.

“Segalanya berubah setelah saya menghidap penyakit misteri hingga menyebabkan berat badan susut daripada 42kg kepada 24kg. Hampir lima bulan saya habiskan masa atas katil dengan bergantung pada ibu dan dua anak (Amirul Faizi, 11 dan Fatin Nabila, 8). Hanya ALLAH SWT tahu perasaan saya ketika itu, apatah lagi tubuh saya bagaikan tinggal tulang dan kulit sahaja.

Khamis, 15 Januari 2015

Misteri beg merah terjawab

Unit Pemusnah Bom sedang melakukan pemeriksaan ke atas sebuah beg yang ditinggalkan di sebuah stesen minyak, semalam.
JOHOR BAHRU - Sebuah beg berwarna merah yang ditinggalkan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Jalan Tebrau, di sini jam 12 tengah hari semalam menimbulkan suasana panik apabila ia dikhuatiri mengandungi bom.

Seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, majikannya terpaksa menghubungi polis selepas mendapati ada sebuah beg ditinggalkan seorang lelaki yang sebelum itu berhenti untuk pam tayar.

Menurutnya, ketika kejadian hanya ada tujuh pekerja termasuk ahli keluarga majikan berada dalam premis berkenaan, manakala di luar premis ketika itu tidak ada pelanggan.

“Majikan bimbang beg berkenaan mengandungi bom lalu segera menghubungi polis.

Rabu, 14 Januari 2015

Fenomena suka 'shopping' online

Zalora dan Lazada antara medium beli-belah paling popular dan digemari si kaki 'shopping' online. - Gambar Hiasan.
TREND jualan atas talian (online) bukanlah fenomena baharu di Malaysia. Dianggarkan hampir 40 peratus lelaki dan perempuan membeli barangan menggunakan telefon pintar, komputer tablet, komputer riba dan desktop.

Membeli-belah secara online menjadi semakin popular di kalangan rakyat Malaysia mendorong perkembangan luas perniagaan ini termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bahkan pertumbuhan laman sesawang seperti Zalora dan Lazada turut mempengaruhi trend membeli-belah dan menjadi kegilaan bagi penggemarnya.

Di Malaysia, perniagaan online berkembang  seperti cendawan tumbuh lepas hujan.

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2