Cari Tajuk Yang Di Cari

Khamis, 24 Julai 2014

Dakwah di facebook dorong Chee Thor peluk Islam


KUALA LUMPUR: Ketika facebook mula diragui ramai, sesetengah pula melabelnya sebagai agenda musuh Islam, Soh Chee Thor sebaliknya mula mendekati Islam melalui medium itu, lapor Selangor Kini.

Betapa tidak, beliau kerap berkongsi kata-kata hikmah yang dipetiknya dari pelbagai halaman facebook (fanpage) termasuk sebahagian halaman dakwah Islam.

Beliau kerap berbuat demikian ketika berasa 'kehilangan' atau 'teraba-raba' di saat mendepani rintangan kehidupan yang pelbagai.

Sejak itu, Chee Thor berasa tenang berbuat demikian – berkongsi rasa dan pengetahuan serta amalan kebaikan bersama insan lain tanpa mengira kaum atau agama.

Kekerapan itu menyebabkan sebahagian kenalan di facebook menyangka beliau seorang muslim.

Hakikatnya, beliau pernah menganut dua agama berbeza sedari kecil hingga dewasa sebelum menganggap dirinya sebagai mirip kepada 'free thinker'.

Selain itu, keberadaan ramai kenalan Islam ketika saat susah dan senang, mendorong Chee Thor yang mengajar di sebuah sekolah di Klang, menyenangi agama itu.

“Tak sampai tengok awak masuk neraka (kerana bukan Islam). Awak orang baik-baik.”

Kata-kata dari beberapa rakannya meresap dan begitu terkesan di hati ibu tunggal yang memiliki dua anak itu.

Hati Chee Thor mula berdetik untuk menganut Islam tetapi beliau memberi ruang pada diri sendiri untuk menghayati, belajar perihal Islam kerana tidak mahu terburu-buru keputusan.

Perlahan-lahan beliau juga mula melakukan rutin ibadat Islam sekalipun belum melafaz syahadah termasuk berpuasa pada Ramadan sejak empat tahun lalu.

Malah, beliau berpuasa penuh tahun lalu dan menyertai solat Tarawih beberapa kali.

“Tak susah pun berpuasa,” katanya sambil tersenyum apabila ditanya saat-saat melalui pengalaman itu.

Selain itu, beliau memiliki rakan mualaf yang kini menetap di Johor untuk dijadi rujukan sekaligus menguatkan tekadnya untuk menjadi seorang muslim.

“Dia juga pernah mendoakan saya untuk masuk Islam ketika mengerjakan ibadah haji di Mekah. Barangkali berkat doanya, akhirnya saya menganut Islam,” katanya.

Chee Thor, 47, melafaz kalimah syahadah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dengan menggunakan nama Zuyyin Alisha.

Kini, Alisha sudah hafaz bacaan al-Fatihah kecuali beberapa sebutan yang kurang tepat, selain wuduk dan solat selepas bersungguh-sungguh mempelajari ibadah Islam.

Beliau bernekad untuk mendalami Islam sebaik-baiknya dengan mengikuti kelas Iqra anjuran Abim Outreach yang bertanggungjawab membawanya kepada agama itu.

Harakah Daily
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2