RENTETAN isu boikot produk yang mempunyai kepentingan
dengan Israel, orang ramai khususnya orang Islam mula membuka mata
menerusi alternatif lain dengan memilih produk Islamik.
Baru-baru ini, Halalsurf.com, syarikat Bumiputera sepenuhnya di bawah
syarikat Link and Build Business menerima sambutan daripada pengguna
tempatan.
Pengasasnya, Rustam Rizalman Ghazali berkata, sehingga kini,
Halalsurf.com mempunyai 9,500 ahli yang aktif dari India, Brunei dan
Pakistan serta dijangka semakin bertambah pada masa akan datang.
"Dulu orang tidak percaya ada orang tempatan yang mampu menghasilkan laman sosial berlandaskan Islamik.
"Bagaimanapun, selepas isu yang melanda Palestin, orang ramai sudah
mula percaya," katanya yang telah membangunkan laman sosial itu sejak
2008 dan hanya siap serta beroperasi pada 2011.
Mengulas berhubung kemampuan Halalsurf.com untuk menampung trafik yang
tinggi, Rustam berkata, pihaknya sudah bersedia dan sekiranya jumlah
semakin bertambah, ia akan dikemas kini bagi berhadapan dengan jumlah
ahli pada masa akan datang.
Katanya, pihaknya berharap untuk menambah baik produknya dengan
membangunkan beberapa lagi aplikasi baharu seperti kiblat, al-Quran dan
Halal Mart.
"Halal Mart adalah satu ruang yang dibina untuk peniaga Islam mempromosi dan menjual produk mereka.
"Bagaimanapun, untuk membangunkan aplikasi itu, Halalsurf.com
memerlukan sejumlah pelaburan yang yang besar," katanya yang telah
melaburkan RM350,000 menggunakan wang simpanan sendiri.
Sementara itu, Rustam berkata, sebagai penambah baik laman sosial,
Halalsurf.com turut melancarkan aplikasi Android secara percuma pada
Ogos 2013 dengan wajah baharu serta pelbagai ciri tambahan lain.
Sehingga kini terdapat lebih 9,000 muat turun.
Menurutnya, pihaknya komited untuk mencapai satu juta muat turun
aplikasi percuma menerusi platform Android 1.7 Google Play menjelang
akhir tahun ini.
Dalam pada itu katanya, laman sosial Halalsurf.com sangat mudah
digunakan kerana mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan Facebook,
namun berbeza daripada segi kandungan.
Beliau berharap mendapat sokongan daripada kerajaan dengan menawarkan
geran untuk pembangunan aplikasi yang lebih baik sekaligus menarik
pelabur Islam yang berminat membangunkan Halalsurf.com.
Sinar Harian