Cari Tajuk Yang Di Cari

Khamis, 20 Ogos 2015

Menyamar jurujual, mencuri ketika solat


Mencuri ketika solat


PALONG - Seorang penerokawati terkedu apabila barang kemas dan duitnya dikebas tiga individu menyamar sebagai jurujual ketika dia sedang solat di rumahnya di Felda Palong 9 di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang, barangan berharga itu dilarikan ketiga-tiga individu terbabit selepas meminta mangsa Miskiah Busri, 54, menanggalkan seutas rantai leher untuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Miskiah berkata, sebelum kejadian dia yang hendak menunaikan solat asar didatangi kesemua suspek termasuk dua wanita yang menawarkan perkhidmatan menjual air dan membaik pulih alat penapis air.

“Dia orang datang nak jual barang tapi mak cik tolak, maklumlah manalah mampu membayarnya. Kemudian mereka pujuk pula untuk buat periksa kesihatan secara percuma.

“Tapi ada syarat, kenalah mak cik buka barang kemas sebab mereka kata peralatannya sensitif dengan emas. Makcik tinggalkan rantai leher dan letak atas meja solek di dalam bilik tidur sebelum meminta izin untuk menunaikan solat," katanya.


Menurutnya, kad pengenalan diambil dari dalam beg yang tergantung pada tombol pintu bilik turut diserahkan kepada suspek selepas diminta bagi tujuan merekodkan butiran peribadi.

"Selepas dia orang tulis nama makcik, makcik simpan dan gantungkan semula beg pada tombol pintu bilik tengah. Makcik minta dia orang periksa kesihatan ibu makcik dulu sementara makcik sembahyang.

"Sebelum meninggalkan dia orang, salah seorang daripadanya sempat menepuk bahu kiri dan kanan makcik macam nak mengurut tapi makcik tak endahkannya," katanya.

Miskiah berkata, selepas solat dia terkejut apabila ketiga-tiga suspek tiada di rumah sebelum bergegas ke bilik dan mendapati rantai leher bernilai kira-kira RM1,000 dan wang berjumlah RM150 di dalam beg sudah lesap.

“Saya sembahyang di ruang tamu tetapi arah kiblat membelakangkan dia orang dan makcik memang tidak perasan apa yang dia orang buat,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa di Balai Polis Ladang Geddes pada jam 11.50 malam.

“Siasatan awal polis mendapati kesemua suspek dipercayai berusia dalam lingkungan lewat 20-an dan berpura-pura menawarkan perkhidmatan kepada mangsa sebaik menyedari mangsa hanya tinggal berdua bersama ibunya yang uzur.

“Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan dan kes ini akan disiasat mengikut seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana melakukan curi di dalam bangunan,” katanya.

Sinar Harian
Comments
0 Comments

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

P.R.O - fm

Jom Pakat Derma Kepada Kami Dengan Klik..Iklan ini...

Catatan Popular P.R.O

Senarai Blog Geng2