SHAH ALAM - Pelantikan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai Naib Presiden Bersatu dijangka dapat membantu mendedahkan konspirasi BN dalam pilihan raya sebelum ini.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, menerusi pelantikan itu, beliau percaya penipuan dilakukan BN dapat didedahkan kepada semua.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu umum senarai penuh MPT]


Katanya, jelas SPR dipergunakan parti itu, contohnya dalam isu persempadanan semula.
"SPR seolah-olah menerima arahan daripada mereka untuk mewujudkan kawasan selamat bagi BN,” katanya ketika sesi perbahasan di Sidang Dun Selangor, semalam.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Azmin turut mempersoalkan pelantikan bekas Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah sebagai Pengerusi SPR.
“Bagaimana SPR boleh bertindak bebas dan profesional jika pegawai kanan Umno dilantik sebagai pengerusi SPR?.

“Tiga minggu lalu, diangkat satu nama untuk dilantik timbalan pengerusi SPR, sedangkan beliau merupakan ketua setiausaha perdana menteri. Syukur cadangan itu ditolak oleh Majlis Raja-Raja. Inilah bukti SPR dipergunakan BN," katanya menjawab soalan Datuk Rosni Sohar (Hulu Bernam-BN) yang mahu bukti campur tangan BN dalam urusan pilihan raya.

Mohamed Azmin berkata, badan ini tak boleh dianggotai mana-mana parti politik dan berharap semua pihak mendukung bersih ke arah pilihan raya adil dan bebas.

Sinar Harian