PADA 17 Jun 2017, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beliau tidak menawarkan diri sebagai calon perdana menteri dalam PRU14. Ramai sedih mendengar pengumuman tersebut. Tetapi, mereka memahaminya. Pengumuman itu menunjukkan bahawa Anwar negarawan, bukannya sekadar ahli politik.
Namun, Anwar tetap calon PM nombor satu PH. Mungkin bukan untuk kali ini. Tetapi, dalam politik, tidak ada yang mustahil.
Pengumuman tersebut tepat pada masanya. Ia memberi laluan untuk pimpinan PH memuktamadkan struktur organisasinya bagi tujuan pendaftarannya, dan dalam masa terdekat, iaitu seperti yang dicadangkan ramai, menamakan calon PM yang menunjukkan kita bergerak ke hadapan.
Di samping itu, saya tertarik dengan sepotong ayat dalam kenyataan Anwar itu – “mengusung idea politik baru”. Ini kerana saya menulis dua buah buku tentangnya: Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia (2008) dan New Politics 2.0: Multiracial and Moderate Malaysian Democracy (2017).
Keputusan PRU10 (1999) menunjukkan ‘sesuatu yang baru’ berlaku dalam politik Malaysia. Sesetengah penganalisis mula menggunakan istilah ‘politik baru’. Dua buah buku ditulis tentangnya, iaitu Politik Baru dalam Pilihan Raya Umum oleh Mohd Yusof Kasim dan Azlan Ahmad (Ed.) (2002) dan New Politics in Malaysia oleh Fancis Loh Kok Wah dan Johan Saravanamuttu (Ed.) (2003).
Selanjutnya, Loh dan Saravanamuttu membahaskan pandangannya tentang Politik Baru dalam dua buah buku mereka. Pada 2009, Loh menulis Old vs New Politics in Malaysia: State and Society in Transition.
Beliau menyatakan bahawa politik lama adalah berdasarkan etnik dan dipengaruhi politik wang, manakala Politik Baru menuntut partisipasi demokratik, keadilan sosial, kebertanggungjawaban dan ketelusan, dan berorientasi multi-etnik.
Pada 2016, Saravanamuttu, dalam bukunya, Power Sharing in a Divided Nation: Mediated Communalism and New Politics in Six Decades of Malaysia’s Elections, menyatakan politik baru sinonim dengan Gerakan Reformasi, dan kini telah mendapat tempat yang penting dalam penulisan pengajian Malaysia.
Ia dikaitkan dengan gelombang pendemokrasian di Malaysia yang menyaksikan penglibatan kuat rakyat biasa dalam proses pilihan raya di sisi aktivisme politik yang tidak pernah berlaku sebelumnya.
Menurut Saravanamuttu, pemecatan Anwar telah membuka pintu luas kepada participatory new politics yang dilambangi Gerakan Reformasi, yang mencetuskan penglibatan politik multi-etnik dan rentas-etnik yang tidak pernah berlaku sebelumnya dalam kalangan masyarakat sivil dan pembangkang.
Politik baru ialah politik partisipasi dalam ruang khalayak yang sedang berlaku yang bertujuan menegakkan nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia yang mengatasi kepentingan etnik.
Perkembangannya melimpah ke proses pilihan raya, contohnya, keputusan Pakatan Rakyat yang memberangsangkan dalam PRU12 (2008) dan PRU13 (2013).
Hari ini, Politik Baru berlaku di banyak negara, termasuk negara Islam. Ted Piccone, dalam bukunya, Five Rising Democracies: and the fate of the international liberal order (2016) membicarakan lima demokrasi yang sedang meningkat: India, Brazil, Afrika Selatan, Turki dan Indonesia – Ibsati– negara-negara yang meninggalkan kolonialisme, aparteid dan diktator dan kini mengukuh dalam demokrasi berperlembagaan.
Manakala John L Esposito, Tamara Sonn dan John 0 Voll (Ed.) dalam bukunya, Islam and Democracy after the Arab Spring (2016) menyatakan “politik baru, iaitu gelombang keempat demokrasi menjadi kemungkinan global melalui perkembangan Arab Spring”.
Pada saya, bagi Anwar, politik baru bermula apabila beliau meninggalkan Abim untuk menyertai Umno untuk melakukan ‘reformasi dari dalam’. Selepas itu, beliau mempelopori Gerakan Reformasi dan memimpin pencapaiannya ‘yang tidak pernah berlaku sebelumnya’ itu. Hari ini, sebagai pengasas Forum Dunia Demokrat Muslim, beliau menjuarai idea ‘Demokrat Muslim’.
* Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan dan Pengarah (Strategi dan Pembangunan Masyarakat) Institut Darul Ehsan. Twitter: @saifuddinabd
Sinar Harian