Khairy: Perlu tingkat kecekapan polis, bukannya undang-undang baru
Tumpuan seharusnya diberikan kepada usaha meningkatkan kemampuan dan
kecekapan anggota keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM)
dalam menangani kadar jenayah dan bukannya memperkenalkan satu
undang-undang baru.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin
Abu Bakar semasa memberikan pandangan itu berkata, perkara itu termasuk
memahirkan lagi PDRM dalam siasatan jenayah dan meningkatkan kemudahan
teknikal pasukan itu.
"Saya secara peribadi tidak setuju
dengan mana-mana undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan
kerana ia melanggar hak asasi manusia dan 'natural justice' dan ia
adalah perkara yang tidak boleh kita terima. "Jadi
bukanlah kita perlu memperkenalkan undang-undang yang membenarkan
penahanan tanpa perbicaraan sebaliknya kita perlu meningkatkan lagi
keupayaan pasukan keselamatan kita," katanya kepada pemberita di majlis
berbuka puasa Pemuda Umno Negeri Sembilan bersama media, di Seremban
malam tadi.
Beliau diminta mengulas mengenai polemik rang
undang-undang baru bagi menangani jenayah berat yang akan dibentangkan
di Dewan Rakyat September ini yang dikatakan akan mempunyai eleman
penahanan tanpa bicara.
Rang undang-undang baharu itu bertujuan
membanteras jenayah selepas kerajaan memansuhkan Ordinan Darurat dan
Akta Kediaman Terhad pada 2011.
Khairy yang juga menteri
belia dan sukan berkata, pasukan polis sebenarnya telah mempunyai kuasa
yang agak besar di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang membenarkan
mereka membuat tahanan reman terhadap mana-mana suspek jenayah.
Katanya,
sekiranya satu undang-undang baru perlu diperkenalkan sekali pun, ia
tidak boleh mengandungi elemen penahanan tanpa perbicaraan kerana ia
melanggar prinsip dalam perlembagaan.
Selain itu, Khairy
berkata perkara penting yang perlu diambil kira adalah mengenai
perlindungan kepentingan dan keselamatan saksi jenayah.
Katanya,
walaupun saksi dilindungi oleh Akta Perlindungan Saksi 2009, namun
mereka masih perlu tampil untuk memberi keterangan sekaligus
menyebabkan identiti mereka terdedah.
"Kita kena cari
jalan mungkin pinda beberapa undang-undang untuk memastikan keselamatan
saksi terjaga dan itu mungkin kita boleh terima dari segi undang-undang
baharu," katanya.
Malaysiakini