Semoga Syawal berjaya memugar tarbiah Ramadhan
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, | 07 Ogs 2013 |
Perutusan Idulfitri 1434H
YB Tuan Guru Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Al-Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
بسم
الله الرحمن الرحيم. قال الله تعالي : "قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ
تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ
وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ
عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ"
yang bermaksud: Katakanlah
(wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan!
Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau
kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa
yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang
Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau
kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan.
Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah ali-Imran, ayat 26)
Alhamdulillah,
setinggi-tinggi syukur yang tidak terhingga dipanjatkan ke hadrat Allah
SWT kerana dengan limpah izinNya kita masih diberikan peluang untuk
meraikan Syawwal pada tahun ini. Sama ada ini merupakan Syawwal yang
terakhir atau tidak di dalam hidup kita, hanya Allah SWT yang Maha
Mengetahui. Sesungguhnya perjalanan hidup ini seluruhnya berada di dalam
genggaman kekuasaan Allah SWT. Dia berhak mematikan sesiapa yang
dikehendaki pada bila-bila masa yang dikehendaki tanpa sebarang tanda
dan amaran.
Segala
kebesaran milik Allah SWT yang menguji kita umat Islam pada Syawwal
kali ini dengan tragedi-tragedi yang menyayat hati di seluruh dunia.
Kesemuanya mengingatkan kita agar sentiasa menyedari dan menginsafi
bahawa kerajaan adalah milik Allah SWT. Pada hari ini di saat mana-mana
kerajaan berkuasa, belum tentu lagi di hari esok ia akan terus menjadi
kerajaan. Hakikatnya, kerajaan di langit dan di bumi semuanya milik
Allah SWT.
Saya
menyatakan perkara ini bagi mengingatkan kita semua tentang apa yang
sedang berlaku di bumi ambiya' iaitu di Mesir pada hari ini. Kita
menyambut Syawwal dalam keadaan saudara-saudara kita di Mesir sedang
berdepan dengan rampasan kuasa yang sungguh menyayat hati. Sekalipun
demokrasi telah mengesahkan kemenangan kerajaan pilihan rakyat, namun
muncung senapang sekali lagi menjadi senjata sekular untuk menidakkan
demokrasi. Pada saat rakyat di seluruh Mesir bangkit hanya bersenjatakan
doa dan perarakan aman sahaja, mereka dipaksa untuk bersahur dan
berbuka dengan bedilan peluru oleh tentera negara mereka sendiri.
Ini
juga yang berlaku di Syria. Kita laungkan takbir raya pada saat kaum
muslimin di Syria sedang melaungkan takbir jihad. Kita melakukan
persiapan membeli pakaian hari raya ketika kaum lelaki di Syria
menyiapkan kelengkapan perang menentang rejim zalim yang enggan turun
dan tunduk pada desakan rakyat. Hasilnya, saban hari kita melihat
gambar-gambar mereka yang terkorban di Syria dibunuh tanpa belas
kasihan.
Inilah
ujian daripada Allah SWT. Ujian kepada tahap persaudaraan yang kita
miliki. Justeru, dalam pada kita riang gembira menyambut hari raya pada
kali ini, luangkan masa kita untuk sama-sama menadah tangan agar Allah
SWT menurunkan pertolonganNya kepada umat Islam di Mesir, Syria bahkan
di seluruh dunia termasuklah di negara kita Malaysia. Teruskan berjuang
dan berdoa, agar kezaliman melutut sujud di hadapan kebenaran.
Semoga
Ramadhan yang berlalu berjaya memahat nilai taqwa dalam benak sanubari
kita. Semoga Syawwal yang tiba juga berjaya memugar kembali kekuatan
hasil tarbiah Ramadhan yang kita lalui. Ingatlah, jika di bulan Ramadhan
berlakunya perang Badar, maka di bulan Syawwal telah berlakunya perang
Ahzab. Kedua-duanya dimenangi dengan gilang gemilang oleh Rasulullah
SAW.
Tiada
yang pelik jika pertolongan Allah SWT yang pernah turun di medan Badar
dan Ahzab akan turun buat kesekian kalinya untuk umat Islam pada hari
ini. Syaratnya, iman dan taqwa hendaklah menjadi hantaran buat meminang
nusrah daripada Allah SWT, Tuhan pemilik segala kerajaan.
الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر ولله الحمد
Salam hormat, selamat hari raya Idulfitri 1434H
Al-Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS)